Berita Utama Kes Adib: Malang jika KPN belakangi bukti mahkamah

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador seolah-olah membelakangi bukti yang diberikan dalam mahkamah ketika mengulas mengenai kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kesal dengan tindakan itu, Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan KPN seperti mahu membuat kesimpulan bahawa pembunuhan tidak berlaku hanya kerana siasatan sukar dibuat.

Bidasnya, pihak mahkamah sendiri menyatakan dalam laporan inkues bahawa terdapat elemen berlakunya pembunuhan.

“Justeru, KPN sepatutnya menyatakan agar siasatan akan diteruskan sahaja tanpa mengulas lanjut sebegitu kerana yang paling penting sekarang ialah untuk menangkap semula suspek-suspek yang pernah dilepaskan dahulu, bukannya terus membuat kesimpulan.

“Saya merasakan perkara ini sangat serius dan bukan boleh mengeluarkan sebarangan kenyataan kerana saya bimbang jika ada implikasinya. Pihak mahkamah telah arahkan pihak polis membuat siasatan, maka teruskanlah tanpa banyak dalih lebih-lebih lagi yang mati ini adalah penjawat awam juga.

“Yang paling menyedihkan ialah perasaan dan keadaan keluarga Muhammad Adib yang masih sedih dan trauma. Maka, kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan pasti amat menyakitkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, keluarga Allahyarham Muhammad Adib kesal dengan fakta dikeluarkan Abdul Hamid pada 10 Julai lalu yang didakwa jelas tidak menghormati dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Barisan peguam keluarga Allahyarham berkata, adalah tidak adil untuk KPN merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan Muhammad Adib dibunuh hanya kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan tidak nampak apa yang berlaku.

Lebih lagi tidak munasabah untuk KPN cuba menggambarkan kononnya Muhammad Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya, kata mereka.

Pada masa sama, barisan peguam juga tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu ‘pasukan kajian semula’.

Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk menubuhkan Pasukan Kajian Semula, bagi menyiasat semua aspek kes kematian Muhammad Adib.

Abdul Hamid Bador berkata, pasukan itu akan melakukan siasatan yang tertumpu kepada saksi-saksi.

Katanya, ia termasuklah pandangan seorang pakar patalogi forensik dari Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi pakar forensik yang dilantik oleh keluarga Muhammad Adib, sepanjang inkues berlangsung di Mahkamah Koroner bermula pada 11 Februari hingga 24 Julai tahun lepas, di Shah Alam.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker