MH17: Belanda heret Rusia ke ECHR

THE HAGUE – Belanda hari ini memaklumkan ia akan mengheret Rusia ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) atas peranan mereka menembak jatuh pesawat MH17 di ruang udara Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam dan Kuala Lumpur dan turut meragut 298 nyawa pada Julai 2014.

Menteri Luar, Stef Blok berkata, keputusan mengemukakan kes itu ke mahkamah berpusat di Strasbourg dibuat untuk menyokong kes yang difailkan ratusan waris keluarga mangsa penumpang.

“Menuntut keadilan terhadap kesemua mangsa tragedi MH17 kekal sebagai keutamaan pemerintah. Belanda akan berkongsi semua maklumat yang ada dan relevan tentang insiden tersebut. Kes itu akan mewakili kesemua 298 mangsa daripada 17 negara berbeza,” ujarnya.

Difahamkan, ia adalah salah satu contoh kes sebuah negara mengheret negara lain ke ECHR yang hanya mengadili 24 kes sejak 1953 dan sebanyak 10 kes disebut ‘antara negara’ melibatkan Rusia.

Kebanyakan kes dikemukakan oleh individu atau kumpulan seperti yang diberikan waris keluarga kira-kira 65 mangsa penumpang warga Belanda pada 2018.

Sebelum ini, Belanda dan Australia mendakwa Moscow bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut.

Menurut Belanda, ia juga sudah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB tentang langkah tersebut yang bakal memberi tekanan undang-undang baharu kepada Rusia selepas Amsterdam membicarakan empat suspek tanpa kehadiran mereka di kompleks mahkamah di Schiphol pada bulan lalu. – AFP

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker