Wang tunai RM52,000 hangus terbakar

WANG tunai berjumlah RM52,000 hangus selepas rumah sewa seorang peniaga terbakar dalam kejadian di Kampung Parit 10 Timur, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, rumah itu hangus termasuk tiga kenderaan iaitu van, Proton Iswara dan motosikal Kawasaki.

Pembekal barangan dan peralatan sekolah, Khatib Yusop, 38, berkata, ketika kejadian, dia sedang minum di kedai makan berhampiran sebelum menerima panggilan daripada jiran, Fazilla Mohd Hata, 33, memaklumkan kebakaran itu.

“Jiran memaklumkan, ketika kejadian dia terdengar bunyi kaca meletup. Dia kemudian ternampak kepulan asap keluar dari bahagian dapur rumah sewa saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.



Khatib berkata, dia yang bergegas pulang mendapati api marak memusnahkan rumah menyebabkan dia gagal menyelamatkan barangan termasuk wang simpanan serta modal pusingan perniagaannya.

KEADAAN rumah sewa Khatib yang musnah dalam kebakaran di Kampung Parit 10 Timur, semalam. FOTO ihsan bomba
KEADAAN rumah sewa Khatib yang musnah dalam kebakaran di Kampung Parit 10 Timur, semalam. FOTO ihsan bomba

“Daripada jumlah RM52,000 itu, RM40,000 adalah wang simpanan yang saya kumpul sejak lapan tahun lalu manakala RM12,000 ialah modal pusingan perniagaan.

“Siapa yang tidak sedih duit yang dikumpul selama ini hangus sekelip mata. Kebetulan, saya ada rancang beberapa perkara untuk menggunakan wang simpanan itu pada masa akan datang,” katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM200,000 tidak termasuk wang tunai itu.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian ini dan akan tinggal sementara di Surau Hujung Parit 10 Timur.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar Penolong Penguasa Bomba Mohd Khuzaimey Ibrahim berkata, sembilan anggota dari BBP Sungai Besar dengan bantuan lapan anggota dari BBP Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, rumah terbabit musnah 90 peratus. Api berjaya dikawal 20 minit kemudian.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

HM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker