‘Dari takder bulu, tumbuh bulu, sampai tanggal bulu’
“Dari takder (tiada) bulu, tumbuh bulu sampai tanggal bulu”.
Itu antara ayat lucu dalam salah satu gambar yang dimuat naik Datuk Lee Chong Wei pada akaun Facebook miliknya bersama bekas musuh tradisinya, Lin Dan yang mengumumkan persaraan daripada sukan badminton, hari ini.
Keterangan gambar yang ditulis Chong Wei itu mungkin bagi menggambarkan yang mereka sudah mengenali satu sama lain sejak sekian lama sejak dari zaman remaja sehingga kini masing-masing sudah bersara.
Walaupun mereka dilabel sebagai musuh di dalam gelanggang namun hakikatnya mereka ada kawan baik di luar gelanggang.
Ketika dihubungi BH Sukan, Chong Wei percaya bukan mudah buat Lin Dan membuat keputusan untuk bersara daripada sukan badminton.
Lin Dan mengumumkan persaraan daripada sukan badminton menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Weibo.
“Dari 2000 hingga 2020, selepas 20 tahun, saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.
“Ia sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.
Pengumuman itu menyaksikan Lin Dan, 37, yang memenangi emas Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 tidak akan beraksi pada Olimpik Tokyo tahun depan.
Selain emas Olimpik, Lin Dan juga memenangi gelaran juara dunia sebanyak lima kali bermula 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.
BH
You must be logged in to post a comment.