Suku ketiga penentu prestasi ekonomi Malaysia bagi 2020
Suku ketiga penentu prestasi ekonomi Malaysia bagi 2020 – S&P Global
Prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga akan menjadi penentu bagi mengukur sejauh mana pencapaian ekonomi negara bagi 2020, demikian menurut S&P Global Ratings.
Ahli Ekonominya bagi Asia Pasifik Vishrut Rana berkata meskipun ekonomi tempatan dijangkakan pulih, namun haluan ke arahnya adalah kekal mencabar berikutan peningkatan kadar pengangguran.
“Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup sebanyak 2.0 peratus pada 2020 — satu angka yang tinggi berbanding jangkaan ramai. Namun, kami melihat kemajuan dari segi usaha membendung COVID-19 di Malaysia serta perkembangan membabitkan langkah sekatan pergerakan.
“Ini bermakna Malaysia berada di kedudukan baik untuk mencatat pemulihan serta normalisasi aktiviti (ekonomi) pada suku ketiga,” katanya pada sesi webinar bertajuk “Malaysia – Fiscal And Debt Risks Reflect Impact of COVID-19” di sini, hari ini.
Bagi tempoh-tempoh 2021, 2022 dan 2023, S&P Global menjangkakan KDNK Malaysia meningkat masing-masing 7.5 peratus, 6.1 peratus dan 4.7 peratus.
Laporan baru-baru ini menyatakan pertumbuhan ekonomi negara ini menyederhana secara ketara kepada 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2019.
Mengulas selanjutnya, Vishrut menyifatkan suku ketiga 2020 juga penting bagi membolehkan agensi penarafan menentukan prestasi Malaysia pada tahun ini — sama ada berlakunya normalisasi dalam kegiatan ekonomi dan perbelanjaan isi rumah, kes jangkitan baharu COVID-19 berkurangan serta perkembangan ekonomi.
Menyentuh risiko pemulihan bagi tahun ini dan 2021, beliau berkata ini berkait rapat dengan dua faktor yang perlu dipantau — COVID-19 dan pasaran tenaga kerja tempatan.
“Pandemik itu baik di peringkat domestik dan global dijangka dapat dibendung pada pertengahan 2021 apabila terdapat bantuan perubatan berkaitan. Ini akan mengelaknya daripada menjadi satu isu besar seperti sekarang.
“Faktor kedua membabitkan sepantas mana pasaran tenaga kerja ini dapat pulih. Jika kadar pengangguran terus ketara, ini berkemungkinan besar menyebabkan pendapatan isi rumah susut, sekali gus mengurangkan perbelanjaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis yang juga Rakan Sekutu Penarafan Institusi Kewangan Asia Pasifik syarikat itu, Nancy Duan berkata walaupun tinjauan S&P Global yang menyemak semula tinjauan ke atas lima bank Malaysia kepada negatif berbanding stabil semalam, bank-bank tempatan yang berdepan COVID-19 dan cabaran berkaitan adalah lebih kukuh berbanding bank serantau lainnya.
Malah, katanya, tindakan penarafan ke atas bank-bank terbabit adalah berdasarkan tinjauan prospek penarafan kredit kerajaan ke atas Malaysia dan tidak menjangkakan institusi kewangan itu mampu menghadapi tekanan berkaitan dengan penurunan negara.
“Berbanding bank serantau, kami percaya bank-bank Malaysia menghadapi cabaran berkaitan COVID-19 dari sudut pendirian lebih kukuh berdasarkan sejarah nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah serta nisbah modal tinggi setakat akhir tahun lepas,” katanya.
Bagaimana pun, beliau berkata peningkatan mendadak kadar pengangguran pada April yang juga tertinggi dalam tempoh sedekad, memberi risiko kepada bank-bank Malaysia kerana memberi dedahan besar terhadap sektor isi rumah sekitar 58 peratus.
Menurutnya, agensi penarafan itu mengunjurkana kadar pengangguran itu mencecah 4.9 peratus tahun ini dan 4.7 peratus pada 2021.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.