Nasib To’ki terbela, dapat bantuan rumah serta komputer riba
GOMBAK: Sebuah kediaman kondusif yang sewanya akan dibayar selain komputer riba merupakan antara bantuan yang diterima oleh penyanyi terkenal, To’ki yang hidupnya kini dalam kesempitan.
Rumah sewa yang bakal dihuni To’ki itu akan turut dilengkapkan dengan peralatan kediaman bakal mengubah kehidupan seniman yang kini berteduh di sebuah pondok kecil di pinggir hutan Batu 12, Gombak, Selangor.
Bantuan berkenaan dijanjikan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan yang hari ini menyantuni penyanyi lagu Biasan itu di pondok kecilnya.
Kunjungan PPZ diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff selepas terkesan dengan pendedahan eksklusif Astro AWANI mengenai kesempitan hidup dilalui penyanyi terkenal itu pada Selasa.
Susulan laporan itu juga, meja berita Astro AWANI dihubungi pelbagai pihak yang mahu menghulur bantuan meringankan beban penyanyi itu.
Menurut Ahmad Shukri, PPZ terdorong untuk membantu To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur selepas menonton laporan eksklusif ‘Pondok To’ki’ di dalam slot Awani 7:45 pada Selasa.
“To’ki adalah seorang berjiwa besar dan bersemangat waja dan masih berkarya. Dia juga bukanlah insan yang suka meminta-minta tetapi kami terpanggil untuk mungkin ada ruang yang boleh kami bantu,” kata Ahmad Shukri kepada Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, dalam membantu mengubah nasib penyanyi lagu Biasan, PPZ bersetuju untuk menyediakan sebuah kediaman yang lebih kondusif untuk To’ki, 53, dan isterinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48.
“Antara yang kami tawarkan kepada To’ki ialah sebuah rumah di kawasan berdekatan di mana PPZ akan membayar sewanya selain kelengkapan rumah yang sesuai seperti peti ais dan sebagainya dan tidak berjauhan dari pondok yang didiami ketika ini.
“Ini kerana kita memahami jiwa beliau yang ingin berkarya di sini di mana sekali sekala dia boleh datang ke sini apabila mahu berkarya dan kami faham To’ki sukakan tempat ini,” kata beliau.
Dalam kunjungan itu juga, pihak PPZ turut bersetuju untuk menghadiahkan sebuah komputer riba kepada Sharifah Fairuz yang aktif dalam bidang penulisan kreatif.
Tidak ketinggalan, PPZ juga, jelas Ahmad Shukri, menghulurkan bantuan kewangan kepada To’ki untuk menanggung kos memperbaiki kenderaannya yang sudah lama tersadai.
Menyambut bantuan itu dengan penuh rasa syukur, To’ki berkata, tiada kata yang dapat menterjemahkan rasa gembiranya dengan keprihatinan PPZ.
Bagi To’ki, ini adalah hikmah di sebalik kesabarannya selama ini dan sebagai seorang muslim, dia harus berterima kasih pada Allah kerana menghadirkan pihak-pihak yang ikhlas mahu membantunya.
“Syukur dan terima kasih.Allah telah ketuk pintu hati insan-insan yang datang pada hari ini. Insya-Allah jika ada rezeki lebih saya akan kongsikan juga pada yang lain yang kurang bernasib baik. Ini adalah tanggungjawab kita semua,” kata To’ki dalam nada terharu.