Hina Islam, penyelia kilang didenda RM6,000
Akibat menghantar komunikasi jelik dan menghina agama Islam menerusi akaun Facebook, seorang penyelia kilang perabut didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Koh Teen Ern, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.
Lelaki itu didakwa memuat naik satu hantaran di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya, iaitu “Tim Koh” dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 2.47 pagi, 20 Dis 2019 dan 9.56 pagi, 21 Dis 2019 mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 1 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Koh yang diwakili peguam Wong Chiang Kiat merayu hukuman denda yang minimum, namun timbalan pendakwa raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada beliau kerana tindakannya mencetuskan kemarahan masyarakat.
“Hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika menyuarakan pendapat di media sosial. Ribuan orang dapat melihat dan mengakses hantaran tersebut,” katanya.
Koh membayar denda tersebut.
FMT
You must be logged in to post a comment.