Pas sambut baik siasatan kes Adib diteruskan
SHAH ALAM – Pas menyambut baik komitmen kerajaan untuk meneruskan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, komitmen itu sebenarnya melegakan rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan kes tersebut.
“Kita menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap kes kematian Allahyarham Adib,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, inkues terhadap Allahyarham Adib menjadi tanda tanya dan diragui.
Sehubungan itu, Pas berpuas hati dengan keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rafidah Mohamad yang memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah individu tidak dikenali.
Katanya, Pas yakin PDRM, Peguam Negara dan kerajaan Perikatan Nasional akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes tersebut dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat sama ada pelaku berserta mereka yang berusaha menutup kes ini jika ada.
“Rakyat pasti akan memberikan kerjasama dalam mengangkat keadilan kematian seorang wira negara,” katanya.