Jemaah solat fardu di masjid makin kurang.
Kehadiran jemaah menunaikan solat fardu di masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini menurun berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh berkata, meskipun kerajaan negeri telah membenarkan bilangan jemaah mengikut kapasiti ruang solat utama, didapati mereka yang hadir hanyalah satu pertiga daripada jumlah sebenar sebelum ini.
“Kalau dulu masuk sahaja waktu solat zohor, tidak kurang 300 orang datang ke masjid untuk berjemaah sekali tetapi sekarang hanya lingkungan 100 orang.
“Itu di masjid negeri, jika di masjid-masjid kariah, saya kira jumlahnya lagi berkurangan.
“Solat subuh terutamanya, apabila saya datang meninjau didapati hanya tiga saf sahaja yang penuh, itu pun setelah jarakkan sosial dibuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, umat Islam perlu mengambil peluang kelonggaran dalam tempoh PKPP ini untuk kembali mengimarahkan masjid-masjid di kawasan masing-masing selepas hampir tiga bulan ditutup kepada orang ramai.
Katanya, di kebanyakan masjid, aktiviti kuliah khususnya kuliah Maghrib telah pun dimulakan kembali dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Janganlah bersemangat untuk solat Jumaat sahaja, solat fardu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak juga satu kewajiban. Kita sangat menggalakkan mereka datang berjemaah di masjid,” katanya.
Beliau berkata, bermula 19 Jun lalu, pematuhan solat Jumaat di Masjid Negeri adalah baik dan terkawal dengan kehadiran kira-kira 600 jemaah.
Beliau juga tidak menolak ada dalam kalangan jemaah tidak dibenarkan masuk oleh petugas keselamatan kerana tidak membawa sejadah sendiri dan tidak memakai topeng muka.
“Jadi kita ingatkan, datanglah ke masjid dengan pematuhan SOP ditetapkan, ini juga sebahagian tanggungjawab kita bagi mengelak berlakunya sebarang jangkitan wabak dalam kalangan jemaah,” katanya.
Sinar
You must be logged in to post a comment.