Anwar: Sampai hari ini Dr M tak dapat jumlah MP

Pakatan Harapan memang pernah membincangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai pilihan kedua untuk perdana menteri, kata presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurutnya cadangan ini diusulkan bagi mendapatkan jumlah ahli parlimen mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya. Walau bagaimanapun, Anwar berkata pada masa ini, Mahathir juga tidak mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup.

Ketika berucap kepada penyokongnya melalui Facebook secara langsung, Anwar berkata DAP dan Amanah tidak pernah berkalih untuk memesongkan dokongan mereka daripada menyokongnya menjadi perdana menteri.

“Jadi kawan-kawan fikir kalau begitu dia kata Anwar tidak cukup jumlah boleh tak kita fikirkan pilihan kedua, iaitu berikan ruang kepada Tun Dr Mahathir.

“Jadi ada yang percaya Tun Mahathir dapat jumlah. Tapi sampai hari ini tak dapat. Jumlah belum ada,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Bagaimanapun, Anwar tidak mengatakan sama ada PKR atau PH sebagai satu muafakat bersetuju dengan pilihan kedua ini ketika mesyuarat itu.

Sebelum ini DAP dan Amanah berkata Majlis Presiden PH telah mengesahkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menterinya dalam pertemuan pada 30 Mei.

Beliau berkata PKR tidak boleh bersetuju untuk menjadikan Mahathir sebagai perdana menteri, dan ada kekhuatiran kerana pengalaman pada masa lalu dalam berurusan dengan bekas pengerusi PH itu.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker