Ambrin tak ditekan agar ubah laporan audit 1MDB, kata Ali
Bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, sekali lagi menegaskan Ambrin Buang tidak ditekan atau diancam untuk mengubah laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB.
Memberi keterangan sebagai saksi perbicaraan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Ali berkata pertemuan di antara beliau dengan pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), 1MDB bersama wakil pelbagai agensi di pejabatnya di Putrajaya pada 24 Feb 2016 berlangsung dengan mesra
Mesyuarat tersebut diadakan selepas Najib – ketika itu menjadi perdana menteri – menyatakan rasa tidak senangnya terhadap draf laporan audit JAN mengenai 1MDB.
Ali – semasa menjawab soalan Muhammad Shafee Abdullah yang menjadi ketua peguam bela Najib – memberitahu mahkamah, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah permintaan agar JAN menggugurkan kenyataan bahawa 1MDB mempunyai dua penyata kewangan berbeza untuk tahun yang sama.
JAN akhirnya bersetuju menggugurkan maklumat tersebut selepas diberikan jaminan bahawa isu kewujudan dua penyata berbeza itu akan disiasat polis.
Shafee: Adakah sesiapa memberi tekanan kepada ketua audit negara (Ambrin) untuk menggugurkan ini, atau menakut-nakutkan mereka?
Ali: Tak ada tekanan atau ancaman. Ia terserah kepada ketua audit negara.
Shafee: Mereka menerika keputusan bahawa satu laporan polis akan dibuat untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab?
Ali: Ya.
Bagaimanapun Ali berkata semasa menerima draf kemas kini terakhir itu tiada laporan polis dibuat. Beliau juga tidak mengetahui jika ada mana-mana orang dalam 1MDB didakwa kerana membuat dua penyata kewangan berbeza untuk agensi berkenaan.
Ali Hamsa
Butiran lain yang akhirnya dikeluarkan dari laporan audit 1MDB yang itu termasuk kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho dalam mesyuarat ketika 1MDB masih dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009.
Juga dipadamkan dari laporan audit akhir adalah perincian mengenai perjanjian di antara Country Groups Securities Thailand dan Acme Time Limited serta kelewatan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) oleh 1MDB.
Shafee: Semua empat (butiran) ini dipersetujui (untuk dikeluarkan dari laporan audit) oleh JAN?
Ali: Ya.
Shafee: Adakah kamu atau Arul Kanda (ketika itu ketua pegawai eksekutif 1MDB) atau mana-mana orang dari Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan mengancam Ambrin agar meminda laporan audit 1MDB?
Ali: Tidak ada ancaman.
Shafee: Adakah kamu pernah memberi tekanan kepada Ambrin untuk meminda laporan audit 1MDB?
Ali: Saya tak memberi tekanan.
Ali juga kemudian menambah, beliau berpendapat pegawai JAN berada dalam tekanan ketika itu.
Shafee turut bertanya kepada Ali mengenai keterangannya sebelum ini yang menggambarkan Arul Kanda “mendesak” JAN mengenai kandungan tertentu dalam laporan audit tersebut.
Ali kemudian menjawab: “Mengenali karakternya (Ali Kanda), dia bercakap lembut. Dia mendesak secara baik.”
Sebelum ini Ali memberi keterangan bahawa semasa mesyuarat mengenai laporan audit 1MDB, JAN didesak agar sebahagian daripada kandungan dalam draf awalnya dibuang.
Mkini
You must be logged in to post a comment.