Pencari bunga orkid dikhuatiri sesat di Batu Kurau

IPOH, 14 Jun — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat empat individu, termasuk seorang lelaki yang dikhuatiri sesat selepas mencari bunga orkid di dalam kebun kelapa sawit, di Batu 23, Redang Panjang, di Batu Kurau, sejak petang tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Zon II Perak Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.14 petang daripada salah seorang mangsa wanita sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami dapat menemukan jejak mangsa kira-kira 400 meter dari kenderaan yang ditinggalkan mangsa.

“Ketika kami menghubungi mangsa semula, dia memberitahu ada mendengar siren bomba namun mungkin mangsa tidak nampak sebab sudah malam dan mungkin mangsa sudah jauh ke dalam kebun kelapa sawit ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat tiga wanita dan seorang lelaki itu masih diteruskan dengan bantuan polis.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker