Tidak berdosa tak tunai solat Jumaat

SHAH ALAM: Ahli kariah yang tidak terpilih menunaikan solat Jumaat tidak dianggap berdosa kerana ia bukan wajib untuk ditunaikan.Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mereka sebaliknya hendaklah menggantikan dengan solat Zohor di tempat masing-masing.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur biarpun ketetapan itu amat berat untuk diterima oleh semua umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Tamyes berkata, dengan mengambil kira perkembangan terkini wabak COVID-19 yang masih belum ada penawar, langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

“Oleh itu, ahli kariah yang tidak mendapat jemputan atau terpilih untuk mendirikan solat Jumaat maka tidak wajib menunaikan solat Jumaat dan tidak berdosa serta hendaklah menggantikan dengan solat Zohor di tempat masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang terbaik demi menjaga kemaslahatan umum bertepatan dengan kaedah fiqh.

“Menghindarkan perkara yang membawa kerosakan adalah lebih utama dari mendapatkan kebaikan,” katanya.

Orang ramai di Selangor mula menunaikan solat Jumaat hari ini di 39 masjid seluruh negeri itu atas perkenan Sultan Selangor menambah 40 jemaah.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker