Awas masalah keresahan sosial jika sekolah terus ditutup, kata pakar

PETALING JAYA: Ahli psikologi kanak-kanak memberi amaran tentang kemungkinan munculnya masalah keresahan sosial dalam kanak-kanak dan ibu bapa kerana sekolah yang sepatutnya ditutup selama 2 minggu kini masuk bulan ke-3 dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

Dr Hanina Hamsam dari Universiti Putra Malaysia berkata kemahiran sosial murid sekolah rendah mungkin merosot jika mereka tidak dapat menghadiri kelas dan terkurung di rumah bagi tempoh yang lama.

Walaupun banyak sekolah melaksanakan pembelajaran dalam talian, interaksi dalam talian tidak sama dengan belajar dalam kelas.

Pertamanya, pembelajaran dalam talian memerlukan lebih disiplin.



“Ada kanak-kanak yang tiada akses internet kerana lebar jalur yang tidak baik atau peralatan substandard,” tambahnya.

Ibu bapa juga terkesan kerana ramai terpaksa memantau dan membantu pembelajaran anak, sesuatu yang mengambil masa dan memerlukan kesabaran.

Hanina menambah ramai ibu bapa bekerja di rumah sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac.

“Bukan senang nak tangani kanak-kanak, lagi-lagi yang kecil,” katanya.



“Ada juga ibu bapa yang hilang pekerjaan ketika ini, dan berada di rumah bersama anak sepanjang masa jadi tekanan baru yang perlu mereka hadapi.”

Sebelum ini, FMT melaporkan gangguan persekolahan sejak 14 Mac mungkin berterusan sehingga tahun depan bagi kebanyakan pelajar.

Sumber yang dekat dengan perbincangan mengenai membuka semula sekolah di seluruh negara berkata mungkin hanya pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan penting akan kembali ke kelas.

Hanina berkata keadaan itu amat sukar bagi mereka yang tinggal di perumahan rakyat kerana ruang kediaman yang tidak luas.



Beliau mencadangkan jawatankuasa perumahan rakyat membolehkan kanak-kanak yang bersekolah menggunakan dewan masyarakat untuk pembelajaran dalam talian, tertakluk kepada tatacara operasi standard (SOP).

“Ada rumah pangsa kos rendah didiami sehingga 10,000 orang,” katanya.

“Ruangan yang tidak luas dan anak-anak tidak bersekolah bagi tempoh yang lama boleh memberi tekanan dan masalah.”

Katanya, pilihan lain adalah membuka sekolah secara giliran, yang mana kanak-kanak pergi kelas secara berselang-seli.



“Kementerian Pendidikan boleh mulakan dengan membolehkan pelajar senior ke sekolah seminggu sekali atau 2 kali untuk membiasakan diri dengan norma baru.”

Lihanna Borhan dari Universiti Islam Malaysia berkata harga diri kanak-kanak mungkin terkesan jika mereka rasa mereka tiada kemajuan kerana sekolah ditutup begitu lama.

Bagi melawan perkara itu, dan mengelakkan kemahiran sosial merosot, beliau menasihatkan ibu bapa memenuhi masa anak-anak dengan aktiviti bersama seperti bercerita dan memasak.

“Libatkan diri anda dengan anak,” katanya kepada FMT. “Bukan sahaja berbual atau buat kerja sekolah bersama. Harus ada kegiatan tambahan.”



Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Ali Hassan pula menggesa Kementerian Pendidikan merangka kurikulum yang sesuai untuk pembelajaran dalam talian.

Beliau juga bersetuju persekolahan menggunakan pendekatan tak serentak, yang mana ia dihadiri pelajar senior terlebih dulu dan kemudian diikuti pelajar junior.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker