Perikatan Nasional tetap kerajaan yang sah walaupun majoriti kecil
UMUM sedia maklum bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk melalui sokongan majoriti yang kecil. PN kini berdepan dengan pelbagai tindak-tanduk Pakatan Harapan (PH) yang berusaha mengambil alih semula tampuk pimpinan negara.
Ikuti temu bual bersama penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani mengenai perkara tersebut.
SINAR HARIAN: Benarkah kedudukan PN kini goyah?
Melihat pada demokrasi dan meskipun dengan majoriti rendah, PN masih lagi kerajaan yang sah serta mentadbir seperti biasa. Cuma apabila majoriti rendah, ada kemungkinan seorang dua ahli Parlimen yang menyokong PN sebelum ini akan melompat dan menyebabkan berlaku pertukaran kerajaan.
Bukan kerana kerajaan itu yang tidak stabil tetapi jumlah majoriti. Jika betul kerajaan PN dibentuk dengan 114 majoriti, bila dibuat undi tidak percaya, sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi akan menang.
Disebabkan margin terlampau kecil, ramai yang gusar kerana keadaan yang tidak stabil, mungkin PN bila-bila masa boleh jatuh dan sebagainya.
Tapi dari segi realitinya, kerajaan PN boleh mentadbir sampai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. PRU nanti perancangan politik mereka mungkin akan berlainan. Bagi saya, PN dilihat tidak stabil dalam konteks majoritinya kecil. Itu sahaja isunya. Sama ada PN jatuh atau tidak, itu bergantung kepada sejauh mana perjalanan mereka boleh kekal sampai PRU akan datang.
Adakah usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat akan menggugat kedudukan PN?
Ini ada kaitan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dan usul itu telah diterima oleh Speaker Dewan Rakyat namun tidak diputuskan tarikh usul tersebut akan diperdebatkan atau ditangguhkan.
Tapi ia perlu diteruskan juga. Disebabkan ia sebahagian daripada Perlembagaan, sepatutnya tidak dijadikan isu untuk dilaksanakan.
Cuma sewaktu pengundian nanti, takut ada yang tidak menyokong atau mengambil pendirian berkecuali.
Dalam perkara ini saya berpandangan, apa yang termaktub dalam Perlembagaan, ia perlu dilaksanakan. Tempoh bila ia akan dilaksanakan sama ada Julai depan atau sidang Dewan Rakyat pada September, itu yang menjadi isu.
Tapi bergantung juga kepada sejauh mana ada unsur untuk menolak supaya usul undi tidak percaya itu tidak direalisasikan. Maksudnya kena ada alasan yang kukuh mengikut Perlembagaan bagi menghalang usul itu tidak dibentangkan.
Buat masa ini, saya tidak nampak ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Sebab itu usul ini boleh ditangguhkan tapi nak menolak, agak sukar.
Sejauh manakah istilah kerajaan pintu belakang dan tebuk atap yang dimainkan pembangkang berjaya mempengaruhi rakyat?
Itu perkara biasa. PN sebelum ini juga memainkan pelbagai isu terhadap PH. Apabila PH menjadi pembangkang, mereka juga akan buat perkara yang sama. Kalau mereka tidak mainkan isu ini, rugilah, seolah-olah mereka pula menerima PN.
Sekarang PH mahu mewujudkan satu persepsi dengan mengatakan PN sebagai kerajaan pintu belakang dan sebagainya. Realitinya, walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja pun, PN adalah kerajaan yang sah. Oleh itu, apa sahaja isu dimainkan, PN kena menjawab. Ia harus dipatahkan oleh kerajaan.
Pada PRU, rakyat beri mandat untuk memilih wakil rakyat di kawasan, bukan memilih kerajaan. Itu rakyat Malaysia kena faham.
Rakyat pilih siapa ahli Parlimen dan ADUN yang akan wakili mereka di Parlimen dan DUN. Dalam pembentukan kerajaan, ahli Parlimen dan ADUN yang pilih menentukan bentuk kerajaan yang mereka mahu.
Oleh itu, tidak sepatutnya timbul isu pintu belakang atau tebuk atap. Ini mainan politik, kalau tidak dimainkan, rugilah pembangkang.
Adakah PN akan terjejas sekiranya PH menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri?
Bergantung sekiranya Dr Mahathir boleh menerima Anwar sebagai bakal Perdana Menteri PH. Perkara ini bergantung kepada perundingan dan kompromi.
Sama juga seperti sekarang Muhyiddin dengan Dr Mahathir, sebab tidak ada kompromi. Kalau PH nak lantik Anwar, mereka kena kompromi tapi dalam politik, apa-apa pun boleh berlaku.
Seandainya Dr Mahathir masih lagi mahu menjadi Perdana Menteri, beliau kena melihat sejauh mana dan dari mana sokongan yang diperolehnya. Seperti kita ketahui, komponen PH setia kepada Anwar.
Bila menjadi pembangkang, PH perlu mengambil inisiatif sama yang pernah berlaku pada UMNO dan Pas apabila bergabung untuk menang pilihan raya.
Bagi memperkuatkan PH, mereka tidak boleh bergaduh sesama sendiri sebaliknya menyatukan semua pembangkang yang ada termasuklah Dr Mahathir sebagai sokongan.Apabila ada sokongan sedemikian, lagi kuat pembangkang untuk melawan PN yang sekarang hanya mempunyai majoriti kecil.
Rasionalnya, semua pembangkang perlu bergabung untuk melawan PN. Jika pembangkang berpecah, PN ada kelebihan untuk memperkukuhkan diri sebagai kerajaan.
SH