118 laman sesawang lakukan kesalahan berkaitan penjualan rokok
PUTRAJAYA – Sebanyak 118 laman sesawang termasuk e-dagang dan media sosial didapati melakukan kesalahan berkaitan penjualan rokok sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia hasil pemantauan berterusan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di platform berkenaan dan tindakan juga telah diambil ke atas mereka yang terlibat.
“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan premis penjualan tidak beroperasi seperti dahulu, namun penjualan dalam talian didapati masih giat berjalan misalnya melalui platform e-dagang.
“Kesalahan penjualan dalam talian dan kesalahan penjualan produk yang mengandungi nikotin ialah masing-masing dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Racun 1952,” katanya pada sidang akhbar mengenai situasi semasa jangkitan koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, KKM juga prihatin terhadap golongan perokok yang ingin berhenti merokok namun terbatas dengan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.
Sehubungan itu katanya, KKM dengan kerjasama pihak Persatuan Farmasi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan perkhidmatan kaunseling berhenti merokok dalam talian.
“Adalah dimaklumkan bahawa seramai 400 orang perokok telah mendaftar bagi mendapatkan bantuan berhenti merokok dalam talian dan lebih 5,000 orang telah melayari laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my.
“Angka ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan perokok tentang bahaya merokok,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KKM berharap lebih ramai lagi perokok proaktif dan mengambil tanggungjawab untuk bertindak segera demi menjaga kesihatan diri sendiri serta melindungi orang yang dikasihi terutamanya warga emas dan kanak-kanak.
SH