Penghayatan Perang Ahzab melalui al-Quran

PAKATAN Yahudi-Quraisy

Peperangan Ahzab yang juga dikenali sebagai peperangan Khandaq berlaku pada Syawal tahun kelima Hijrah mengikut pandangan jumhur ulamak. Peperangan ini tercetus disebabkan dendam kesumat, puak Yahudi Bani Nadhir yang telah diusir oleh Nabi S.A.W dari Madinah. Ia disebabkan pengkhianatan mereka terhadap persefahaman yang telah dimeterai. Untuk mengambil pelajaran daripada pengusiran Bani Nadhir, Allah telah merakamkan peristiwa tersebut di dalam surah Al-Hasyru yang juga disebutkan oleh Ibnu Abbas dengan surah An Nadhir.

Beberapa pemuka Bani Nadhir antaranya Huyai bin Akhtab dan Salam bin Abi Alhaqiq selepas diusir ke Khaibar, mereka berpakat untuk menuju ke Makkah bagi menemui pemuka Quraisy. Ia bertujuan untuk mengajak mereka menyerang Kota Madinah. Melalui pertemuan tersebut tercapailah kata sepakat antara Quraisy-Yahudi untuk mereka menyerang Madinah.

Menjual agama

Dendam membara dan kehilangan bumi berteduh yang nodanya datang dari tangan mereka sendiri, tetapi tetap membutakan mata dan akal mereka untuk menuntut bela dan membalas dendam terhadap Muhammad. Ketika ditanya oleh pemuka Quraisy, agama siapakah yang lebih baik? Tuntas mereka menjawab agama kalian (penyembah berhala) itu lebih baik dari agama Muhammad! Lalu Allah taala menurunkan surah An Nisa` ayat 51 hingga 53 menempelak mereka.

Jumlah Pakatan Ahzab

Keseluruhan ketumbukan mereka melebihi 10,000 orang tentera yang terdiri daripada:

(a) Pasukan Quraisy dari Makkah seramai 4,000 orang, dipimpin oleh Abu Sufyan bin Al Harb.
(b) Pasukan Bani Ghatafan seramai 6,000 orang, dipimpin oleh Uyaynah bin Hison.
(c) Pasukan Bani Asad yang dipimpin oleh Tulaihah.
(d) Pasukan Bani Amir dipimpin oleh Amir bin Tufail.
(e) Pasukan Bani Salim dipimpin oleh Abu A’war As Sulami.
(f) Pasukan Bani Nadhir dipimpin oleh Huyai bin Akhtab. Begitu juga,
(g) Pasukan Bani Quraizah dipimpin oleh Ka’ab bin Asad, yang berjaya dihasut oleh Huyai bin Akhtab untuk menyertai Pakatan Ahzab.

Pengkhabaran kemaraan mereka sampai kepada Baginda S.A.W, lalu Baginda bermesyuarat dan menerima cadangan daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian Utara Madinah.

Bagi yang ingin mengetahui lanjutan selok belok kisah ini, boleh merujuk di dalam buku-buku Sirah. Penulis ingin mengajak kita menghayati peristiwa Peperangan Ahzab ini melalui surah Al-Ahzab, yang bermula pada ayat 9 hingga 20.

Al-Quran tidak menyebutkan nama-nama tokoh yang terlibat, sebaliknya hanya menggambarkan melalui contoh dan tabiatnya sahaja. Begitu juga al-Quran walaupun dibaca berulang-ulang kali kisah atau ayat yang sama, tetaplah akan memperolehi pelajaran yang segar mengikut zaman.

[Ayat 9] Mensyukuri nikmat kemenangan

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”

Al-Quran menyeru umatnya supaya bersyukur melalui gambaran keseluruhan kisah tersebut yang berakhir dengan kemenangan di pihak umat Islam. Allah menghantar tenteranya yang berupa angin ribut dan yang tidak boleh dilihat oleh manusia, bantuan yang hadir melalui sikap mereka yang mengikut petunjuk wahyu dan bukan telunjuk orang kafir mahupun munafiq.

[Ayat 10] Ketakutan yang dahsyat

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”

Seterusnya, al-Quran menjelaskan lagi kisah tersebut, kesinambungan daripada gambaran keseluruhan yang telah disebutkan pada ayat sebelumnya. Seakan-akan al-Quran mahu kita mencermati kisah ini dengan baik. Allah menyebutkan kemenangan terlebih dahulu sebagai suntikan semangat, bukan untuk melalaikan dan tidak mahu berjuang. Dalam ayat ini, Allah mendedahkan ketakutan umat Islam yang dahsyat akibat kepungan menyeluruh Pakatan Ahzab.

Kota Madinah dikepung sepenuhnya

Mengapa umat Islam terlalu takut? Ini kerana umat Islam dikepung oleh musuh dengan jumlah yang terlalu besar hingga melebihi jumlah penduduk Madinah pada waktu itu. Ada ulamak yang menganggarkan jumlahnya melebihi 15,000 orang tentera. Musuh datang dari atas, iaitu mengepung dari arah Utara Madinah, dan dari bawah iaitu dari arah Selatan Madinah, akibat pembelotan pada saat akhir Bani Quraizah. Kebimbangan yang bersangatan ini disuarakan oleh Ummahatul Mukminin:

“Ujar Ummu Salamah R.A, aku pernah menyaksikan pelbagai peperangan dan bahaya bersama-sama Baginda S.A.W seumpama Muraysi` (Bani Mustaliq), Khaibar, Hudaibiah, Fathu Makkah dan Hunain. Semuanya tidaklah lebih memenatkan kami berbanding peperangan Khandaq, di mana kaum Muslimin berada dalam keadaan yang serba salah. Kanak-kanak kami tidak terjamin keselamatannya daripada serangan Bani Quraizah dan Kota Madinah dikawal sehingga pagi. Sepanjang malam kami mendengar kaum Muslimin bertakbir hingga ke pagi kerana bimbang, sehinggalah Allah menghalau musuh balik membawa dendam kesumat mereka tanpa sebarang hasil.”

Ketakutan umat Islam yang bersangatan ini digambarkan oleh al-Quran:

“…dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut),”

Al-Maqrizi menyebutkan kesibukan umat Islam berkawal sepanjang hari menyebabkan beberapa kali mereka terluput waktu solat dan mengqadha’kannya. Menurut Muhammad bin Maslamah, Pakatan Ahzab bergilir-gilir menjaga benteng pertahanan mereka, sedangkan pasukan umat Islam berkawal sepanjang masa tanpa ada ganti. Bahkan diriwayatkan juga ketakutan ini menyebabkan berlakunya pertempuran sesama umat Islam yang berkawal akibat tidak mengenali antara satu sama lain.

Sangkaan terhadap Allah

“…dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”

Sangkaan umat Islam terbahagi kepada dua kelompok. Menurut Hasan Al-Basri, orang beriman menyangka dengan kemenangan, manakala orang munafiq dengan kekalahan. Adapun sangkaan orang beriman kerana mereka mendampingi Nabi S.A.W dan melaksanakan tuntutannya, manakala orang munafiq hanya dengar-dengar cakap orang dan menyebar fitnah.

[Ayat 11] Ujian dahsyat orang beriman

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”

Terdapat 4 ancaman utama umat Islam iaitu:

(1) Ancaman di seberang parit (Pakatan Ahzab).
(2) Ancaman dari belakang Madinah (Bani Quraizah).
(3) Ancaman dari dalam Kota Madinah (Orang Munafiq).
(4) Ancaman jiwa (Ketakutan dan kebimbangan).

[Ayat 12 dan 13] Perbuatan khianat Munafiq

“Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.

“Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: “Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah.” Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: “Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan”, pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).”

Aus bin Qizi dan Abdullah bin Ubai menyeru orang Madinah supaya balik ke rumah masing-masing dengan alasan khuatir diserang musuh. Lalu al-Quran menjelaskan niat sebenar mereka iaitu mahu lari untuk menyelamatkan diri.

[Ayat 14 dan 15] Lemahnya jiwa sang Munafiq

“Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi mengenai itu melainkan sebentar sahaja.”

“Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (mengenai penyempurnaannya).”

Al-Quran mendedahkan tiga pekung munafiq, iaitu sanggup untuk menukar agama jika kekalahan menimpa umat Islam, sanggup menebalkan muka demi material dan mungkir janji yang mereka laungkan ketika Perang Uhud dahulu.

[Ayat 16 dan 17] Penjelasan al-Quran terhadap perbuatan Munafiq

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja.”

“Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu?” Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.”

[Ayat 18 – 20] Golongan penghalang dakwah

“Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: “Marilah bersatu dengan kami”, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.”

“Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang Mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.l”

“Mereka menyangka bahawa tentera ‘Al-Ahzab’ itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.”

Terdapat beberapa ciri-ciri golongan yang berpotensi untuk menjadi penghalang bagi dakwah Islam yang wujud sepanjang zaman:

(a) Beramal sekadar untuk ditayangkan.
(b) Bakhil tenaga dan harta.
(c) Ketakutan yang tidak berasas terhadap musuh.
(d) Sanggup merayu-rayu meminta tolong apabila dalam kesusahan.
(e) Kemudian akan memaki hamun apabila kembali senang.
(f) Al-Quran mengkategorikan mereka sebagai tidak beriman dan tidak diterima amalannya.

[Ayat 22] Pengiktirafan Allah terhadap sikap orang beriman

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka: “Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya.” Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”

Suatu sikap terpuji yang diperolehi orang beriman, dalam keadaan ketakutan yang dahsyat, dengan tekanan dari atas dan bawah, tetapi tidak menggoyahkan langsung pendirian orang beriman, bahkan semakin bertambah keyakinannya! Inilah tawakkal sebenar yang perlu dijiwai oleh umat Islam hari ini, iaitu menyerahkan diri kepada Allah selepas melakukan bermacam usaha dan tindakan untuk menghadapi musuhnya. Semua itu dilalui oleh para Sahabat R.A dalam tempoh kepungan yang memakan masa lebih sebulan.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

HarakahDaily

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker