Azmin duduk di kerusi nombor dua parlimen
Azmin Ali (Bersatu-Gombak) diletakkan di tempat duduk menteri paling kanan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau diletakkan di tempat duduk di kanan Muhyiddin Yassin, dengan selang satu kerusi untuk penjarakan sosial, seperti anggota parlimen lain.
Kerusi timbalan perdana menteri – yang tidak dilantik – di kanan Muhyiddin dikosongkan susulan penjarakan sosial itu.
Di sebelah kanan Azmin pula ialah tempat duduk menteri kanan lain, iaitu Ismail Sabri Yaakob (Keselamatan), Fadillah Yusof (Infrastruktur) dan Radzi Jidin (Pendidikan).
Ini adalah kerusi paling dekat Azmin yang bersebelahan dengan perdana menteri – iaitu kerusi 1, Block A, yang terdekat di sebelah kanan speaker.
Sementara itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Bersatu-Langkawi) duduk di blok paling jauh dari speaker.
Mahathir berada di Kerusi 4, Blok D.
“Jirannya” dalam barisan pembangkang adalah Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi)
Sepanjang karier politiknya, Mahathir lazimnya duduk di Kerusi 1, Blok A yang kini diduduki oleh bekas sekutunya Muhyiddin (Bersatu-Pagoh).
Bersamanya di bangku pembangkang adalah empat anggota Parlimen Bersatu yang lain – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Sri Aman sertai kerajaan
Sementara itu, Masir Kujat (Parti Sarawak Bersatu-Sri Aman) duduk di bangku kerajaan.
Sebelum ini, Masir pernah menyokong Mahathir sebagai perdana menteri. Namun, tidak diketahui bila dia berpaling tadah.
Tempat duduk Dewan Rakyat juga menunjukkan bahawa hanya ada satu wakil rakyat bebas iaitu, Baru Bian (Selangau) yang sebelum ini bersama PKR.
Pelan tempat duduk juga menyatakan bahawa jumlah anggota parlimen kerajaan berjumlah 114 orang.
Zahid, Najib dan Hadi duduk di belakang
Keperluan penjarakkan sosial juga menyaksikan tidak semua anggota parlimen boleh berada di Dewan Rakyat. Separuh dari mereka terpaksa ditempatkan di galeri awam.
Di bangku pemerintah terdiri daripada menteri kabinet dan timbalannya, bersama dengan segelintir senator.
Pemimpin kanan parti tanpa jawatan kerajaan seperti presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan presiden PAS Abdul Hadi Awang (Marang) terpaksa duduk di kerusi pemerhati.
Sebaliknya, bangku depan di pihak pembangkang melihatkan Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) di kerusi ketua pembangkang, diikuti oleh Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Dr Wan Azizah Wan Ismail ( PKR-Pandan), Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri), Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) and Mahathir.
Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.
Mkini
You must be logged in to post a comment.