67 kes jangkitan baru Covid-19, 0 kematian
Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 108 orang.
Dalam perkembangan sama, 67 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,656 orang sehingga kini.
“49 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.
Ketika ini, seramai 1,523 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 18 di unit rawatan rapi dengan 6 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Hisham mengumumkan 96 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,025 orang sehingga kini.
Jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh bersamaan 75.5% daripada jumlah keseluruhan kes, sementara jumlah keseluruhan pesakit yang meninggal dunia bersamaan 1.62%, katanya.
Sementara itu, Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengenal pasti beberapa kumpulan sasar untuk pendekatan tertumpu:
Peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka;
Pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan di Seri Petaling;
Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin;
Anggota kesihatan KKM;
Penduduk di lokaliti-lokaliti PKPD;
Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL;
Pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah; dan
Rumah jagaan warga emas.
Beliau berkata aktiviti pendekatan tertumpu menunjukkan impak yang positif dalam mengesan lebih banyak kes Covid-19.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan masyarakat tidak perlu khuatir dengan peningkatan kes baru kerana pendekatan tertumpu yang agresif dan proaktif menunjukkan keberkesanan.
“Kes-kes yang dikesan ini sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan virus Covid-19 tidak terus menular di kalangan masyarakat,” katanya.
FMT
You must be logged in to post a comment.