PKP dilanjutkan, bantuan juga kena tambah – Najib
‘Salah kerajaan jika lanjutkan PKP tanpa tambahan bantuan’
Najib Razak hari ini mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PH) yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin supaya peka dengan derita yang dihadapi oleh golongan yang paling terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung penularan wabak koronavirus.
Katanya, perdana menteri perlu mengumumkan langkah terbaik untuk rakyat serta permudahkan proses dan mengurangkan birokrasi.
“Kita jangan kedekut dengan rakyat pada saat mereka amat memerlukan bantuan dan perhatian dari kerajaan.
“Golongan seperti B40 dan M40 perlu dibantu dengan pakej lanjutan. Bukan kerana mereka malas atau tidak produktif tetapi hakikat pandemik yang tidak mengizinkan mereka keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga.
“Ia bukan salah rakyat. Rakyat akan faham jika kerajaan perlu melanjutkan PKP sekali lagi. Tapi ia akan jadi salah kerajaan jika PKP dilanjutkan buat kali ketiga tanpa bantuan ditambah atau lambat disalurkan,” katanya dalamsatu hantaran di Facebook.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan PKP akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 12 Mei.
Jelasnya, dalam tempoh itu, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menentukan langkah seterusnya.
PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19. Ini merupakan kali ketiga ia dilanjutkan.
Kerajaan pada 27 Februari lalu, memperkenalkan Bantuan Prihatian Nasional (BPN) yang bernilai RM250 bilion bagi membantu rakyat menghadapi situasi sukar Covid-19.
Melalui BPN golongan B40 yang pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah menerima bantuan RM1,600 dalam bentuk “one off”, manakala M40 yang pendapatan isu rumah tidak lebih RM8,000 sebanyak RM1,000.
Muhyiddin juga turut mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada kakitangan awam.
Pada 27 Februari lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion bagi menghadapi Covid-19.
Muhyiddin seterusnya pada 6 April mengumumkan pula Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pakej rangsangan tambahan itu, katanya dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.
Mkini
You must be logged in to post a comment.