Covid-19 : Sabar hadapi ujian Allah
oleh Muhammad Safi Hassan
UMAT Islam seluruh dunia terutama di negara ini berdepan satu ujian berikutan penularan wabak Covid-19 dan kebanyakan kerajaan di dunia sudah pun melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kuarantin mahupun perintah berkurung sepenuhnya.
Sepanjang tempoh ini juga, ada dalam kalangan umat Islam yang hilang mata pencarian kerana mungkin tidak boleh keluar untuk berniaga atau ada segelintir yang menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus berkenaan.
Pasti, walau apa juga ujian yang melanda kehidupan sepanjang tempoh ini atau mungkin pada masa depan, Allah SWT ingin mengajar kita semua mengenai sesuatu dan setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah daripada Yang Esa.
Dalam Surah Al-Mulk, Ayat 2, Allah mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.
Firman Allah bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.
Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan atau dosa. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua supaya sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan.
Setiap kepayahan pasti diiringkan dengan kemudahan seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
Allah mengajarkan hamba-Nya tatacara menangani musibah seperti mana dinyatakan dalam al-Quran bermaksud: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: ayat 156)
Dalam ayat al-Quran itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘musibah’ bagi menggambarkan ia boleh jadi ditimpakan kepada orang beriman, namun perkara yang lebih penting ialah untuk mereka kembali mengingati Allah.
Ummu Salamah berkata, beliau pernah mendengar Rasulullah bersabda yang menganjurkan doa bagi mereka yang ditimpa musibah.
Rasulullah menggunakan perkataan ‘musibah’ dalam doa itu yang mafhumnya: “Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam suasana yang kita sama-sama merasainya sekarang, kita tidak boleh saling bersandiwara dengan mempamerkan sikap buruk yang lebih terarah kepada gaya penentangan terhadap apa jua peraturan ditetapkan.
Lebih daripada itu, sangat kita kesali kerana masih terdapat segelintir yang memandang ringan setiap peraturan yang diwujudkan yang bermatlamat untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
Sambil lewa dan enggan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang digariskan pemerintah menunjukkan yang kita belum berjaya memiliki nilai peribadi seorang Muslim yang sebenar.
Menerusi Surah al-Nisa’, ayat 5 Allah berfirman dengan maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulu al-amr daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunah) RasulNya-jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Jadi, dalam ketika mana negara sedang ‘bertempur’ dengan serangan wabak penyakit seperti sekarang ini, kita perlu mempamerkan sikap taat kepada negara dan pemimpin dengan mematuhi setiap aturan ditetapkan. Ini sejajar dan selari dengan apa yang diperingatkan Allah menerusi ayat dalam Surah al-Nisa’ itu tadi.
Oleh itu, penulis mengingatkan kepada diri sendiri dan pembaca supaya sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan, memperkuatkan iman, sentiasa berpandangan baik kepada Allah dalam setiap ketentuan-Nya dan berusaha untuk mencari menawar.
Selepas melakukan yang terbaik dengan berusaha, bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah pemilik alam ini dan setiap penyakit yang diturunkan pasti diiringi dengan penawarnya.
Penulis adalah wartawan Harian Metro
You must be logged in to post a comment.