‘Mak cik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas mengumumkan intipati Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 billion, merumuskan bantuan-bantuan atau subsidi yang diberikan itu.

“Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, mak cik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.

“Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah mak cik Kiah di bawah RM4,000 sebulan,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga mak cik Kiah akan dapat.

“Keluarga mak cik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu mengumumkan bayaran RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

Menurutnya, bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

Beliau juga mengumumkan pesara kerajaan akan turut menerima bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off.

Kata perdana menteri, jika suami mak cik Kiah berkhidmat dengan Rela, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir.

Justeru, katanya keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4,200.

“Selain itu, keluarga mak cik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu mengumumkan mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan perumahan awam akan diberi pengecualian pembayaran sewa daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan.

“Anak mak cik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1200.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatansebanyak RM600,” katanya.

Menurut Muhyiddin keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464. Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga mak cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664.

“Jadi mak cik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker