Najib ucap tahniah kepada barisan Kabinet baharu
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet Perikatan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
“Kabinet sudah pun diumumkan. Tahniah kepada semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik,” tulisnya dalam laman sosial Facebook ‘Najib Razak’.
Beliau turut menyenaraikan beberapa bidang yang mengalami impak besar akibat krisis ekonomi antaranya pekerjaan, pendapatan, kewangan kerajaan, bantuan rakyat, mata wang ringgit, perdagangan, hubungan luar, pendidikan, orang luar bandar dan pembangunan.
“Pemimpin kita semua berhadapan dengan cabaran besar. Semoga dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengatasi segala cabaran ini. Insya-ALLAH,” katanya.
Sementara itu, media sosial dibanjiri pelbagai reaksi daripada netizen yang memberi ucapan tahniah kepada barisan menteri Kabinet baharu.
Muhyiddin mengumumkan Kabinet seramai 31 orang menteri dan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia tidak menamakan seorang timbalan perdana menteri tetapi menamakan empat menteri kanan untuk membantu beliau menjalankan tugas perdana menteri.
“Congratulations Sir, practical dan efficient line-up. (Tahniah Yang Berhormat, praktikal dan barisan cekap) Semoga cekal untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan,” tulis Azrai Johana dalam laman Facebook Muhyiddin.
“Alhamdullilah. Tahniah TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin), semoga yang dilantik memikul amanah yang diberi sebaik yang mungkin. #TPM buat masa ini tidak ada keperluan. Terbaik,” tulis Mohd Andy Yaacob dalam Facebook.
“I would like to congratulate all the cabinet ministers appointed. All ministers have been filtered by SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) and PDRM (Polis Diraja Malaysia). With this new coalition and appointment I hope this new government will focus more on better development. #cabinet,” tulis @ainisshaffy dalam Twitter.
(Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua menteri dilantik dalam Kabinet. Semua menteri telah disaring oleh SPRM dan PDRM. Dengan gabungan baharu dan pelantikan, saya harap kerajaan baharu akan lebih tumpu kepada pembangunan yang lebih baik). -Bernama