Tian Chua akhirnya bidas ‘bekas boss’

SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar tidak mencampuri urusan politik bekas rakan-rakannya yang masih setia bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga kini.

Sebaliknya, Naib Presiden PKR, Tian Chua berpandangan adalah lebih baik Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden parti itu menilai semula pendirian politik beliau yang ketika ini dilihat menyokong sebuah parti yang tidak relevan dan tiada masa hadapan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambah Tian Chua lagi, Pengarah Pilihan Raya PN itu juga dianggap telah membazirkan lebih 20 tahun masa berpolitik beliau dengan memilih wadah politik yang diperakui beberapa pemerhati politik sebagai tiada hala tuju jelas.

Sindiran tegas itu dilemparkan Tian Chua terhadap Mohamed Azmin susulan tindakan Menteri Kanan (Ekonomi) itu mendakwa keputusan PKR untuk tidak mencalonkan semula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Genie Lim pada PRN Melaka adalah disebabkan pemimpin itu pernah menyokong beliau sebelum ini.

“Saya nasihatkan Azmin kalau beliau berhasrat untuk kekal dalam PN, beliau sebenarnya telah membazirkan masa berpolitik, berjuang lebih 20 tahun.

“Daripada beliau masuk campur hal Genie (Lim), lebih baik Azmin menilai balik pendirian politik diambil beliau ketika ini. Beliau perlu menyedari Bersatu adalah tidak relevan dan diperakui ramai pemerhati politik, tiada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Muhyiddin tiada faktor ‘wow’

PN sudah kehabisan modal politik apabila mengaitkan urusan dalaman parti lain dalam kempen PRN mereka, dakwa Ginie Lim.

Menerusi lawatan ke Machap Jaya pada Selasa, Mohamed Azmin berkata beliau sedih dengan keputusan PKR untuk menggugurkan Genie dan berharap pemimpin wanita PKR itu akan meneruskan perjuangan.

“Saya sangat sedih kerana dia digugurkan daripada bertanding dalam pilihan raya negeri ini dan saya difahamkan Ginie Lim adalah mangsa (isu) dalaman PKR kerana Ginie Lim dilihat berpihak kepada saya,” kata Azmin.

Selaku salah seorang pemimpin PKR yang sering dikaitkan dengan Mohamed Azmin, Tian Chua menegaskan masih ramai bekas rakan-rakan Mohamed Azmin yang memilih untuk tetap bersetia kepada PKR dan PH sekali pun pernah diajak untuk mengikut beliau.

Jelasnya, tindakan Mohamed Azmin keluar PKR sebelum ini memang menyebabkan perpecahan dalam parti dan mewujudkan ketegangan dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR tu sendiri.

“Walau bagaimanapun, saya mahu tegaskan sejak dari mula lagi, kelompok bekas rakan-rakan Mohamed Azmin sudah menetapkan pendirian bahawa perjuangan mereka bukan berasaskan individu.

“Sebaliknya, pendirian yang kami pegang adalah kesetiaan harus mengikut agenda dan prinsip parti serta mengutamakan agenda rakyat,” katanya.

 

GINIE LIM
GINIE LIM

 

Sementara itu, Genie dalam satu kenyataan menegaskan PN sudah kehabisan modal politik apabila mengaitkan urusan dalaman parti lain dalam kempen PRN mereka.

Jelas beliau, kesetiaan seorang aktivis Reformis adalah pada prinsip perjuangan parti, bukan kepada individu.

Kenyataan Genie itu dibuat susulan dakwaan beliau menjadi ‘mangsa’ politik PKR kerana dikatakan masih menyokong Mohamed Azmin.

“Saya menolak dengan tegasnya tindakan ‘Langkah Sheraton (kejatuhan kerajaan PH)’ kerana bersekongkol dengan kuasa kleptokrat dan perasuah yang telah pun ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun saya tidak bertanding dalam PRN Melaka kali ini, saya tetap komited dengan agenda perjuangan PH, serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam politik tanahair di bawah pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Meskipun Mohamed Azmin pernah menjadi Timbalan Presiden PKR, namun amat menyedihkan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan politik pelbagai kaum dan melawan rasuah lebih 20 tahun tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada acuan parti perkauman dan perasuah,” katanya lagi.

Tian Chua akhirnya bidas ‘bekas boss’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Umno, PAS mungkin boleh kerjasama dalam PRU – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker