Permata kepada Genius pula, berapa lagi nama program nak ditukar?

SELEPAS pertukaran nama Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti hebat disindir wargamaya tahun lalu, ingatkan sudah tidak ada lagi hal seumpamanya.

Sebelum itu, Bantuan Sara Hidup (BSH) nama baru kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Pusat Komuniti Desa (PKD) menggantikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menjadi AWAS (Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik) serta banyak lagi.

Terbaharu, Program Permata Negara (Permata) dijenamakan semula sebagai Genius. Riuh rendah dalam media sosial hari ini membawang mengenai satu lagi penjenamaan semula seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Antara yang trending dalam Twitter dan keresahan wargamaya boleh difahami, harapan mereka terlalu tinggi. Lebih tinggi daripada sekadar menukar putih menjadi hitam, atau menukar nama Permata kepada Genius.

Menukar nama program kerajaan terdahulu bagi kebanyakan rakyat ibarat menukar nama jalan, kalau jalan itu sesak tetaplah sesak walaupun diberi nama baru melainkan diperbesarkan dengan menambah jumlah lorong.

Itu yang mereka nak daripada kerajaan. Perubahan hendaklah signifikan, mampu memberi makna besar dalam kehidupan rakyat. Jika alasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum pun setahun usianya, maka elok juga menteri tidak umumkan apa-apa jika tiada apa yang besar kepada rakyat.

Di dunia luar, mereka sangat memahami hal pertukaran kerajaan yang kali pertama dirasai Malaysia selepas 60 tahun. Asasnya, kerajaan boleh berubah tetapi tidak sistem.

Kecuali pertukaran rejim dan dalam konteks Malaysia pertukaran Barisan Nasional (BN) kepada PH hanyalah seperti pertukaran kerajaan Demokrat kepada Republikan di Amerika Syarikat (AS).

Maka yang baik diteruskan, jika sebaliknya, tamatkan sahaja. Cukup-cukuplah membuat penjenamaan semula program kerajaan terdahulu kalau tidak, nampak macam mabuk kuasa pula macam yang ditegur Tan Sri Syed Hamid Albar ketika memberi komen balas dalam Twitter beliau Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker