Pengawal keselamatan didakwa cedera isteri mengandung 14 minggu

19/02/2021 05:28 PM
KUALA LUMPUR, 19 Feb — Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang sedang mengandung 14 minggu, Ahad lepas.

Muhammad Fairuz Abu Razlan, 24, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nurul Syafika Ishak, 26, di sebuah rumah di Kampung Sungai Chincin Gombak di sini pada 9.30 pagi, 14 Feb lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM14,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul’ Ain Shafie menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Muhammad Fairuz yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Bagaimanapun, Majistret Nur Hafizah Rajuni tidak memberikan jaminan kerana tiada penjamin hadir ke mahkamah dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara suami isteri itu selepas tertuduh tidak mahu membantu isterinya untuk memberikan makanan kepada dua anak mereka menyebabkan tertuduh menumbuk mangsa di bahagian mata dan menendang perutnya.

— BERNAMA

Bapa rogol anak hadapi UPSR dipenjara 32 tahun, 20 sebatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker