Pakatan Harapan berdepan keretakan serius

Deklarasi secara unilateral atau sebelah pihak oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa mereka tidak menyokong pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri membuktikan wujudnya keretakan serius dalam Pakatan Harapan (PH) atau PH Plus ketika ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sebagai gabungan rasmi yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sepatutnya kenyataan penting itu dikeluarkan secara rasmi oleh PH, bahkan lebih baik jika ditandatangani oleh semua pimpinan tertinggi parti gabungan.

“Apabila kenyataan berbentuk retorik dengan ayat berbelit seperti itu dikeluarkan oleh satu parti secara unilateral, ia mengesahkan PH berada di ambang krisis yang serius.

“Bukan sekadar gagal menamakan calon PM secara harmoni dan bakal gagal mengambil alih semula kerajaan Persekutuan, PH berisiko untuk berpecah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai jangkaan penyelesaian isu calon Perdana Menteri PH selepas PKR mengumumkan parti tersebut konsisten mencalonkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mohd Yusri yang juga Ketua Penyelidik Ilham Center berkata, konflik yang tiada kesudahan mengenai isu calon Perdana Menteri itu secara jelas juga boleh menghilangkan keyakinan ahli Parlimen untuk menyokong PH atau PH Plus sebagai kerajaan.

Beliau berkata, apabila situasi itu berlaku, sama ada PH atau PH Plus, mereka tidak lagi berpeluang untuk mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat.

“Paling utama kesatuan dan gabungan yang kukuh sama ada dalam PH atau PH Plus. Jika perkara itu tidak mampu diuruskan, isu calon PM tidak berbangkit sama sekali.

“Mereka tidak perlu berkhayal untuk mengambil alih kerajaan andai polisi mereka longgar dan caca-marba seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan bahawa PH akan terus bergolak jika isu mengenai calon Perdana Menteri tidak dimuktamadkan semua parti komponen dalam gabungan itu.

Tegas Sivamurugan, pergelutan dan percanggahan pendapat akan terus berlaku jika calon yang akan memimpin negara tidak dipersetujui secara sebulat suara.

“Jadi saya jangka selepas ini PH harus sama ada menerima keputusan yang dibuat PKR ataupun meneruskan agenda untuk menaikkan semula Dr Mahathir (sebagai Perdana Menteri).

“Jika itu berterusan (calon tidak dimuktamadkan), maka PH akan bergolak sekali lagi semata-mata kerana tidak boleh mencalonkan seorang Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, isu dua nama calon Perdana Menteri dalam PH yang tidak selesai juga menjadi antara faktor yang menumbangkan gabungan itu selepas hanya 22 bulan mentadbir negara.

“PKR memang konsisten untuk mencalonkan Anwar sahaja sebagai calon Perdana Menteri cuma usaha untuk berkompromi dilakukan oleh DAP dan Amanah supaya Dr Mahathir dapat memegang jawatan tersebut untuk satu tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Apabila ditolak, jelas bahawa PKR melihat itu keputusan yang harus dihormati oleh anggota PH yang lain,” katanya.

Jelas Dr Sivamurugan, keputusan terbaharu yang dibuat PKR untuk kekal dengan pendirian mencalonkan Anwar selepas membuat pelbagai pertimbangan.

“Saya rasa banyak perkiraan diambil oleh Anwar dan PKR. Mungkin bukan untuk menggantikan kerajaan sekarang tetapi persiapan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mungkin persiapan itu adalah untuk jangka masa panjang tapi apapun kita tidak boleh menolak Dr Mahathir yang masih ada pengaruh dengan sebahagian pengundi,” katanya.

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker