Nur Jazlan: ‘Akar umbi Umno muak Annuar jadi jurucakap Bersatu’

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed mendakwa akar umbi Umno sebenarnya sudah muak dengan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang katanya kini menjadi ‘jurucakap’ kepada parti Bersatu.

Katanya, tindakan pengurusan Umno melantik Ahmad Maslan sebagai setiausaha agung Umno untuk menggantikan Annuar, baginya merupakan satu isyarat penolakan pemimipin dan ahli Umno terhadap Annuar.

“Namun demi memberi muka dan menjaga maruah Annuar, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi melantik beliau sebagai setiausaha agung BN.

“Mungkin pucuk pimpinan parti membuat keputusan berdasarkan suara akar umbi yang sudah jemu dengan tingkah laku Annuar yang mementingkan diri sendiri bagi memastikan tidak berlakunya pertembungan calon di Parlimen Ketereh pada pilihan raya umum (PRU) ke-15,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Jazlan berkata demikian sehari selepas Annuar mengeluarkan kenyataan dipercayai membidas pemimpin Umno Johor itu sebelum ini yang menyifatkan Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno.

Dipercayai ditujukan buat Nur Jazlan dalam nada sinis, Annuar (gambar, atas) semalam berkata, meskipun dituduh “mati” di dalam Umno, setidak-tidaknya dia masih mampu menyumbangkan satu kerusi parlimen Umno, tidak seperti pihak lain yang hidup di negeri kuat Umno tetapi tidak menyumbang apa-apa kerusi buat parti.

“Ada yang kata saya dah mati dalam Umno. Kalau begitu, alhamdulillah. Yang penting saya mati dalam Islam, dan syukur jika saat itu saya kekal ahli Umno.

“Setidak-tidaknya saya masih mampu beri satu kerusi parlimen dan DUN (dewan undangan negeri) untuk Umno.

“Ada yang hidup di negeri kuat Umno tapi gagal sumbang kerusi untuk Umno.

“Pedih kan? You ask for it! (Kamu yang minta!)” kata ahli parlimen Ketereh itu di Facebooknya, tanpa menamakan mana-mana individu.

Dalam kenyataannya hari ini pula, Nur Jazlan (gambar, atas) mempelawa Annuar bertanding di kerusi parlimen Pulai bagi membuktikan Annuar sentiasa boleh membawa kemenangan kepada Umno, bukan hanya mendabik dada dengan bersandar pada kerusi majoriti Melayu dan mudah menang sahaja.

“Saya berbesar hati mempelawa Annuar bertanding di kerusi parlimen Pulai yang majoritinya 48 peratus pengundi Melayu, 40 peratus orang Cina dan 12 peratus undi India, barulah dia (Annuar) boleh buktikan dia benar-benar winnable candidate atau pejuang kental Umno.

“Sekurang-kurangnya saya sudah tiga penggal berjuang, bertanding dan menang di kerusi yang susah untuk menang itu, tapi saya tak pernah membangga diri,” katanya dipetik akhbar sama, dilihat membalas sindiran Annuar kepadanya.

Untuk rekod, Annuar pernah mewakili kawasan Peringat dan Kok Lanas di Kelantan, masing-masing pada 1986 dan 2004, namun tak bertanding di mana-mana kerusi DUN bagi penggal ini.

Nur Jazlan pula merupakan bekas ahli parlimen Pulai di Johor selama tiga penggal sebelum tewas kepada Salahuddin Ayub dari Amanah pada PRU lalu.

Ketika ini dia merupakan timbalan ketua Umno Johor.

Johor sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Umno-BN namun pada PRU lalu negeri itu tumbang ke tangan PH yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan juga Bersatu – parti serpihan Umno sendiri. Mk

Nur Jazlan sokong saranan Ku Li agar tinggalkan kabinet PN

Related Articles

One Comment

  1. Pemimpin2 UMNO yg kuat mengkritik TSMY dan TSAM adalah orang2 yg telah ditolak oleh rakyat Johor sendiri ke dlm laut di PRU14 yg lampau. Mereka ini sepatutnya dah bersara dlm bidang politik dan duduk diam2 makan pencen wakil rakyat bukan membuat kacau dan berlagak macam hero rakyat Johor. Sedarlah di tempat kuat sendiripun boleh kecundang. Tak malu ke? Jadi janganlah sombong bodoh.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker