MTUC anggap dividen KWSP masih baik berbanding institusi pelaburan lain

 

KUALA LUMPUR: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pe­ker­ja (KWSP) yang diumumkan 5.35 peratus untuk simpanan kon­vensional manakala 4.75 pe­ratus simpanan syariah bagi tahun lalu masih baik selepas mengambil kira kesuraman eko­nomi global dalam tempoh tersebut.

Presiden Kong­res Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, jika dibuat perbandi­ngan dengan institusi pelaburan lain termasuk perbankan, KWSP terus mengekalkan pulangan dividen terbaik iaitu lebih lima peratus untuk simpanan konvensional berbanding Amanah Saham Bumiputera (ASB) 5.10 sen se­unit termasuk bonus tambahan pada tahun lalu.

“Walaupun kurang daripada ta­hun lepas iaitu 6.10 peratus un­tuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpa­nan syariah, kita di MTUC masih me­lihat pemberian dividen KWSP sebagai sesuatu yang positif.

“KWSP bukan institusi perbankan tetapi bentuk pelaburan jangka panjang dan kalau kita lihat dari segi pasaran pun masih menurun. Jadi kalau lihat dari segi impak penurunan perolehan tetapi KWSP masih memberi dividen yang baik dan munasabah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya yakin kadar dividen KWSP akan meningkat semula pada tahun berikutnya berdasarkan sistem pentadbiran yang baik badan itu dan ditambah dengan soko­ngan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjaga wang persaraan rakyat.

DIVIDEN

“Kita percaya akan berlaku peningkatan dividen pada tahun-tahun berikutnya sebab sejak Kerajaan Perpaduan tiada lagi siri pengeluaran dibenarkan.

“Dividen bukan sahaja berdasarkan ekonomi negara tetapi termasuk dunia kerana kita melabur dalam dan luar negara dan sudah tentu memberi kesan ketika ekonomi tidak baik.

“Jadi kita yakin akan berlaku peningkatan tahun berikutnya kerana jika kita lihat pada 2022 pun kita masih boleh mencapai lima peratus ke atas dan saya harap dengan kesungguhan Perdana Menteri pelaburan KWSP terus melonjak, “ kata beliau.

Senada beliau, pakar ekonomi Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, walaupun terdapat penurunan dividen 0.75 peratus kepada simpanan konvensional manakala 0.9 peratus simpanan syariah namun kadar dividen masih positif.

Menurut, jika dalam keadaan ekonomi suram tetapi KWSP masih mengumpul keuntungan bermakna pengurusan dana pesaraan rakyat itu dalam landasan betul dan memberi keyakinan kepada pencarum.

“Dividen KWSP masih baik selepas mengambil kira pasaran Malaysia dan global tidak rancak tetapi KWSP mampu bertahan.

RAMALAN

“Lebih menggembirakan pen­carum apabila ramalan divi­den sepatutnya lebih rendah berbanding diumumkan.
“Ramalan itu pula turut mengambil kira Indeks Bursa Malaysia yang tidak konsisten sekitar paras 1,480. Jadi dividen kali ini juga turun sedikit kerana ia turut bergantung kepada prestasi pa­saran,” kata beliau.

Justeru, Nuradli yakin, pen­carum berpuas hati dengan pengumuman dividen semalam yang dianggap munasabah walaupun berlaku penurunan berbanding tahun 2021.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pencarum KWSP menerima di­vi­den 4.75 peratus bagi simpanan syariah manakala 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi tahun 2022.

Menurut beliau, jumlah pembayaran bagi keseluruhan dividen bagi 2022 adalah sebanyak RM51.14 bilion kepada 15 juta ahli, dengan simpanan konvensional sebanyak RM45.44 bilion, manakala simpanan syariah sebanyak RM5.7 bilion.

Kata beliau, setakat 31 Di­sember 2022, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar bernilai RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021.

Kata beliau, prestasi itu dipacu ketidaktentuan pasaran dan penilaian rendah dalam pasaran ekuiti dan pendapatan tetap.

“Pembayaran RM51.14 bi­lion memanfaatkan lebih 15 juta ahli, termasuk ahli sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif,” kata beliau.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Alicia Amin, Dr Farzan sah bercerai selepas dua tahun bersama

Fizz Fairuz kena sembur dengan Along

Kena scam RM1575 untuk screen protector di Petaling Street

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker