Merdeka 118 cerminan penyatuan warisan, sejarah Malaysia – Ismail

Merdeka 118 cerminan penyatuan warisan, sejarah Malaysia – Ismail

PEMBINAAN menara Merdeka 118 disifatkan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal itu dapat dilihat melalui usaha diambil Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memelihara khazanah negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara menerusi kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan.

Usaha berkenaan, kata beliau adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD).

Menurut Ismail Sabri, Pelan Induk Strategik KLCCD itu bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia.

“Merdeka 118 kini bersedia menjadi sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur dengan sejarah, rekreasi, sukan dan hiburan yang akan diaktifkan semula di ibu kota Malaysia.

“Saya teruja menantikan kesan positif serta nilai yang akan dibawa oleh mercu tanda baharu ini kepada kawasan bersejarah Kuala Lumpur.

“Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol rakyat Malaysia yang bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118.

Penyempurnaan puncak menara berkenaan sekali gus meletakkan Merdeka 118 sebagai kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dengan ketinggian 678.9 meter.

Reka bentuk menara berkenaan mencerminkan imej Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembinaan menara tersebut juga bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint itu bakal menjadi pemangkin baharu ekonomi Kuala Lumpur sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutama di kawasan berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

Malah, Perdana Menteri berkata, pembinaan menara tersebut dilihat membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti menambahkan daya tarikan kawasan sekitar menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan geran ini telah pun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021 di mana sebelum ini Keluarga Malaysia memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti dan membina lebih banyak peluang pertumbuhan sosio-ekonomi,” jelas beliau. Utv

Merdeka 118 cerminan penyatuan warisan, sejarah Malaysia – Ismail


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Selepas siakap dan sotong kini muncul pula ‘Roti Canai Kayangan’ di Langkawi

Mampu Tiru Enam Bunyi Enjin Kereta 100% Real (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker