MCA ada atau tidak, tiada beza – Terserah MCA hendak keluar BN

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan tiada bezanya sama ada MCA berada di dalam Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.

Katanya, hal demikian kerana, setiap kali pilihan raya hanya UMNO yang gigih bekerja sedangkan MCA tidak membantu.

“Terpulanglah kepada dia (MCA) hendak tinggalkan BN atau tidak. Tidak ada beza (kewujudan MCA) kerana setiap kali pilihan raya kita yang buat kerja.

“MCA ini DAP menang dia untung, kalau dia menang lagi untung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD di Kompleks Pas di sini, malam tadi.

Perhimpunan Agung MCA ke-65 semalam sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata, BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

Sementara itu, Tajuddin berkata, fokus UMNO pada masa ini adalah memperkukuhkan blok pembangkang melalui kerjasama dengan Pas.

Katanya, kedua-dua parti itu perlu melihat ke hadapan dan membina kekuatan politik untuk mendapatkan kembali kuasa orang Melayu dan Islam.

“Untuk menjaga kepentingan orang Melayu Islam, kita kena ada kuasa. Kita akan berusaha keras ke arah itu melalui kerjasama dengan Pas,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mca-ada-atau-tidak-tiada-beza-1.798200#ixzz5YaAf7tBq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker