Malaysia 2020: Titik penyatuan ummah – Ketua Penerangan PAS

KITA dihiaskan dengan pelbagai revolusi yang bakal dikecapi selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Ternyata, permulaan tahun ini dipenuhi dengan kisah politik Pakatan Harapan (PH).

Tekanan terhadap kedudukan Islam dan Melayu

Keresahan rakyat Malaysia tampak jelas dengan tekanan demi tekanan terhadap teras yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam dan Melayu cuba dirobek oleh PH melalui kuasa yang diperoleh. ICERD, Statut Rome dan banyak lagi agenda untuk menghakis kedudukan Islam, Melayu, Bumiputera dan Institusi Raja-raja Melayu ganas menjarah negara.

Konflik perebutan jawatan Perdana Menteri dalam PH

Konflik dalaman PH dalam perbalahan transisi jawatan Perdana Menteri memenuhi ruang awal tahun. Kemelut memuncak apabila Perdana Menteri ke-7 meletakkan jawatan akibat tekanan daripada konconya sendiri. Buat pertama kali dalam sejarah amalan demokrasi negara, penentuan untuk jawatan Perdana Menteri dilakukan secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

YDPA menyelesaikan kemelut politik

YDPA begitu adil dan bijaksana dalam menangani isu ini demi memastikan kestabilan politik dapat dipulihkan semula. Kita sepatutnya mensyukuri adanya sebuah institusi Raja yang berdaulat. Akhirnya telah tertubuh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pengelolaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun jurang majoriti tipis tetapi kerajaan yang dibina atas perkenan Baginda Tuanku ini berjaya memenangi hati rakyat.

Kerjasama politik antara PAS, Umno, BERSATU dan rakan komponen PN telah memecahkan tembok ego kepartian menuju penyatuan demi menyelamatkan negara.

Permulaan norma baharu

Langkah berani kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi permulaan norma baharu untuk rakyat menjalani kehidupan. Kesannya, sumber pendapatan setiap lapisan masyarakat terjejas.

Namun, semua ini tidak dipandang sepi oleh kerajaan yang memahami rintihan rakyat. Pelbagai insentif diberikan seperti PRIHATIN, PENJANA, KITA PRIHATIN dan sebagainya.

Sedang negara dalam fasa pemulihan, pembubaran DUN oleh Datuk Shafie Apdal mendesak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan. PRN ini meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat kerana menjadi antara punca gelombang ketiga COVID-19.

Polemik nombor tidak berkesudahan

Usaha tanpa henti Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri mengeruhkan lagi suasana. Spekulasi bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti menjerat YDPA turut terlibat sama. ‘Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. Namun, sebaliknya berlaku. Kerajaan PN tetap utuh mentadbir.

Krisis politik Perak 

Negeri Perak dilanda krisis politik apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam undi percaya di DUN sebagai Menteri Besar.

Namun, krisis ini dapat diselesaikan dengan baik atas semangat kerjasama daripada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Isu ini memberi pengajaran supaya lebih bijak dalam mengendalikan sebarang permasalahan agar tidak menjadi lebih mudarat sehingga membuka peluang kepada PH kembali berkuasa.

Belanjawan 2021: Demi rakyat dan negara

Sebelum tahun 2020 melabuhkan tirai, Belanjawan 2021 diluluskan dengan peruntukan RM322.5 bilion. Ia merupakan kesinambungan bantuan sebelum ini dan bukti kesungguhan kerajaan menangani COVID-19.

Belanjawan ini juga dikatakan sebagai bajet rakyat, kerana kerajaan perlu menampung dan memberi rakyat berasa terlindung dan terjaga.

Penutup

Inilah rangkuman serba sedikit apa yang berlaku sepanjang 2020. Perancangan manusia tidak dapat mengalahkan perancangan Allah yang Maha Berkuasa.

Semoga tahun 2021 membawa sinar baharu untuk Malaysia dalam memulihkan ekonomi, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat yang diidamkan oleh semua.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker