Kos sara hidup dan budaya hidup

 

BELANJAWAN 2020 yang baru dibentang dan kini hangat dibahaskan di Parlimen. Ada yang bersetuju dan mengalu-alukannya, ada yang pesemis dan ada yang menolak bulat-bulat.

Teras belanjawan kali ini merangkumi empat sasaran: pertumbuhan ekonomi, pembangunan insan, membangun masyarakat inklusif dan mengukuh kewangan institusi awam.

Walaupun belanjawan ini dikatakan belanjawan berkembang, akan tetapi yang menjadi fokus paling utama adalah untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat.

Banyak peruntukan yang ditambah untuk golongan B40 dalam bentuk one-off ( pemberian sekali), bulanan dan subsidi bersasar.

Sementara peruntukan sebanyak hampir RM300 bilion diperuntukan untuk 2020, namun perbelanjaan pengurusan masih tinggi dan sangat perlu diurus dengan teliti untuk meminimumkan ketirisan.

Kos sara hidup merangkumi empat sektor penting iaitu makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti asas dan kesihatan.

Memang hal ini diperbahaskan dengan sangat mendalam untuk mencari kaedah agar golongan B40 mendapat kualiti hidup yang munasabah.

Meskipun segala bentuk bantuan sama ada subsidi mahupun bantuan sara hidup secara langsung menjadi komponen penting, warga pengguna masih perlu meneliti cara hidup masing-masing.

Sementara usaha meringankan beban hidup perlu dirangka kerajaan, pengguna tetap perlu meneliti tabiat berbelanja yang mereka amalkan.

Tidak sedikit amalan berbelanja yang tidak mapan dan tidak berhemat menjadi budaya hidup rakyat Malaysia masa kini.

Berbelanja ke atas hal yang tidak perlu menjadi norma kepenggunaan di negara ini. Malah ada yang tidak peduli terhadap gaya hidup membazir dan bermewahan di luar kemampuan.

Tabiat suka makan di luar, kerap melancong, membeli tanpa merancang, terpengaruh kepada jenama dan berbelanja dalam aktiviti sosial seperti perayaan dan urusan perkahwinan yang berlebihan masih berleluasa.

Yang pasti, pengguna negara ini terperangkap dalam sindrom konsumsi yang terpengaruh dengan trend semasa. Ada yang bersungut dengan peningkatan harga barangan akan tetapi tidak kisah dengan budaya membazir dan bermewahan.

Pasar raya dan restoran mewah masih terus dikunjung pengguna seolah-olah kos sara hidup bukan isu sebenar.

Soal yang perlu difikirkan secara kritikal ialah dalam asakan konsumerisme global sekarang, warga pengguna negara ini belum memberi fokus kepada perbezaan kepenggunaan antara keperluan dan kehendak.

Hidup berasaskan keperluan bukan lagi suatu keutamaan.

Banyak perbelanjaan kini terpengaruh dengan kehendak iaitu berbelanja kerana mengikut trend seperti model kereta terbaharu, aksesori terkini, jenama paling terkenal, telefon bimbit paling canggih dan fesyen pakaian termoden.

Semua itu menjadikan peruntukan dalam mana-mana belanjawan tidak akan berkesan. Kos sara hidup sepatutnya berkaitan dengan keperluan asasi bukan soal berlumba untuk hidup trendy (mengikut fesyen terkini). Pengguna tidak boleh melepaskan kawalan diri kepada kapitalis pengeluar produk yang bukan sahaja membazir tetapi merosakkan alam dan menjejaskan kesihatan.

Budaya hidup pengguna sangat berkait dengan apa sahaja dasar yang diputuskan oleh kerajaan.

Polisi kerajaan sangat diperlukan bukan sahaja dalam pernyataan malah dalam pelaksanaan.

Akan tetapi sikap dan tindakan dalam kalangan pengguna sama ada individu mahupun keluarga juga sangat krtikal untuk menangani isu kos sara hidup.

Isu kos sara hidup akan berterusan selagi mana permintaan dan bekalan dalam pasaran terus menjadi elemen yang menguasai kehidupan masyarakat.

Nilai dan gaya hidup yang dikawal dan dipandu oleh budaya hidup rasional, nilai kesederhanaan yang kukuh dan mengutamakan hidup harmonis sepatutnya menjadi kerangka hidup warga pengguna negara ini.

Kos sara hidup adalah dinamik tetapi ia juga adalah suatu yang boleh dikawal.

Syaratnya bergantung kepada tahap kesedaran dan kadar keupayaan pengguna mengawal diri dalam budaya berbelanja.

Untuk itu pengguna tidak boleh membiarkan diri dimanipulasi dan dieksploitasi oleh pasaran.

Apa yang diperlukan ialah mengupayakan pengguna untuk tahu mengendalikan diri secara berhemat dan mampu kawal diri.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Gaji tidak cukup atau kita tidak merancang?

Budaya Baru Pemilihan UMNO Kali Ini Sangat Positif dan Konstruktif Tanpa Unsur Negatif

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker