Kebebasan media mesti dipertahankan – Mat Hasan

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjadi antara pemimpin terbaru yang menegaskan mengenai kepentingan kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini.

Pemimpin nombor dua dalam Umno itu berkata, peranan media sangat penting bagi memastikan proses semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi.

“Kehidupan demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.

“Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara.

“Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook.

Semalam Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.

Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini didenda sebanyak RM200,000 namun panel hakim yang bersidang menetapkan portal berita terbabit didenda sehingga RM500,000.

 

Bagaimanapun, kutipan sumbangan daripada orang ramai berjaya mengumpul lebih RM500,000 dalam masa kurang lima jam bagi membayar denda berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii, semalam berkata hukuman yang dikenakan terhadap Malaysiakini akan menjadi rujukan kepada media lain jika ada kes seperti itu pada masa depan.

“Dikenakan hukuman berat ini akan menjadi rujukan kes, jadi bukan hanya Malaysiakini yang kita khuatir tetapi termasuklah pemilik-pemilik akaun Facebook, Instagram atau media lain.

“Takkanlah mahkamah boleh melayan kes-kes ini dengan denda.

“Jadi seolah-olah tak ada kebebasan. Selagi mana kebebasan dikawal, tidak mengancam keselamatan negara, itu kebebasan bersuara,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker