Bella Astillah enggan dicurigai di sisi suami orang

Bella Astillah enggan dicurigai di sisi suami orang

Bukan hanya menjaga statusnya sebagai isteri orang, malah, penyanyi yang kini bergelar pelakon, Bella Astillah, 28, perlu menjaga batasan dan hubungan dengan hero gandingan.

Enggan menimbulkan syak wasangka dan fitnah, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah sangat berwaspada jika hero gandingannya sudah beristeri.

Sebagai pelakon, apatah lagi, membintangi drama yang mengetengahkan kisah suami isteri tentunya ada babak bersentuhan yang perlu dilakonkan.

Namun, bagi Bella, ada banyak cara untuk mengelak menimbulkan syak wasangka dan cakap-cakap di belakang. Jadi, dia seharusnya pandai membawa diri, tak kira di luar atau dalam penggambaran, terutama di hadapan kamera.

Dan perkara itu turut disokong hero gandingannya, Zamarul Hisham berpendapat Bella sangat menghormatinya sebagai abang ketika membintangi drama Aku Tanpa Cintamu yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.

Kata Bella, dia percaya setiap pelakon wanita perlu menjaga batasan dengan pelakon lelaki sepertinya.

“Kalau nak kata saya selalu berhubung dengan Zamarul menerusi aplikasi WhatsApp, memang tak pernah. Kalau belanja makan hanya di lokasi penggambaran di mana kami makan beramai-ramai.

“Jika nak cari Zamarul, saya akan mencari isterinya, Diana Rafar terlebih dahulu. Saya tidaklah cakap semua orang kena jadi macam saya, tetapi saya harap perkara ini dipraktikkan pelakon wanita lain.

“Tak dinafikan, saya segan menghubungi Zamarul, jadi saya berhubung dengan Diana kerana isterinya juga peka dengan apa sahaja perkara mengenai suaminya.

“Jujurnya, saya tak mahu ada perasaan tidak seronok di kemudian hari,” katanya kepada BH Online.

Dedah Bella, dia tidak mampu berselindung daripada perasaan gugup bergandingan dengan Zamarul, apatah lagi, tidak mempunyai pengalaman bercinta dengan lelaki lebih berusia seperti diketengahkan dalam drama Aku Tanpa Cintamu arahan Emi Suffian itu.

“Realitinya, saya tak pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki lebih berusia. Namun, saya juga tak mahu dilihat tiada keserasian dan kekok bersama Zamarul ketika menjayakan drama arahan Emi Suffian itu.

“Awalnya, agak berat juga untuk saya menerima watak Nuha ini. Namun, saya cuba mencabar diri atas sokongan suami dan keluarga.

“Saya juga bersyukur pasukan produksi saling membantu terutama Zamarul. Jadi, tidaklah saya rasa keseorangan dan tertekan,” katanya.

Bagi Bella, bergelar pelakon bukannya kerjaya mudah, apatah lagi, apa yang dilakukannya perlu seiring dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Di sebalik jadualnya kian padat, isteri kepada penyanyi popular, Aliff Aziz ini perlu pandai membahagikan masa sebaiknya agar suami dan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2, tidak terabai.

Namun, tanpa sokongan Aliff, tak mungkin pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh dan Kampung Kolestrol itu mampu bekerja bagi membantu mencari rezeki.

Jujurnya, Bella mengakui, dia selalu kagum dengan pelakon wanita yang mampu menjayakan tawaran drama 60 hingga 100 episod kerana untuknya menyelesaikan drama 15 episod pun agak mencabar.

“Bukan tak suka menerima tawaran drama episod panjang, tetapi saya perlu meluangkan masa dengan anak-anak. Menyanyi lain, naik pentas menyanyi dan kemudiannya, boleh balik rumah.

“Namun, saya perlu komited apabila berlakon meskipun pergi pagi dan pulang ke rumah keesokan paginya. Ada masanya, anak-anak sudah tidur apabila saya sampai di rumah.

“Itu yang membuatkan saya takutkan. Sebab anak-anak saya masih kecil dan memerlukan saya.

“Disebabkan itu, saya cuba membahagikan masa dengan anak-anak sebaik mungkin. Contohnya, jika melihat jadual lakonan tidak banyak babak, saya akan bawa mereka berjalan-jalan sebaik habis kerja,” katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Sandakan, Sabah itu berkata, dia juga memilih perlu tawaran lakonan untuk kebaikan anak-anak kerana tidak mahu mereka menonton lakonannya bercanggah dengan imej sebagai ibu.

“Ini bukan soal dari segi membahagikan masa sahaja, tetapi zaman sekarang sudah canggih. Anak-anak juga menonton televisyen, jadi saya perlu pandai mencari watak yang sesuai untuk tontonan umum.

“Aliff juga berpesan saya tidak semestinya kena menerima apa sahaja tawaran, kena baca skrip terlebih dahulu. Saya juga menilai naskhah mengikut kesesuaian sebagai isteri orang.

“Saya tahu mungkin ada orang beranggapan kena profesional apabila bergelar pelakon. Ya, itu memang saya tak boleh nafikan.

“Namun, saya pula kena fikir pelbagai aspek dan menjaga hati banyak pihak,” katanya.

Bella bersyukur rezeki dalam bidang lakonan datang mencurah-curah, lebih lagi apabila diberikan kepercayaan membawa watak utama dalam drama Aku Tanpa Cintamu.

Kata Bella, dia tidak sesekali mempersia-siakan peluang dan kepercayaan diberikan, terutamanya apabila dapat menimba ilmu dan pengalaman dengan barisan pelakon berpengalaman.

“Ini adalah rezeki pemberian Allah. Saya sangat bersyukur ada sahaja peluang yang diberikan.

“Aliff menjadi penguat semangat dan selalu membimbing saya. Saya jujurnya tidak sabar menerima lebih banyak pengalaman dalam lakonan.

“Jadi, setiap kisah yang diketengahkan tak kira seram atau romantik, saya akan jadikan sebagai pengalaman.

“Lebih lagi, apabila dapat bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Zamarul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bella baru selesai merakamkan video muzik single Tetap Disini dan akan tampil dengan single berentak perlahan, tidak lama lagi. Sebelum ini, Bella pernah tampil dengan lagu Tenang, dua tahun lalu. BH

Bella Astillah enggan dicurigai di sisi suami orang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu dan anak terbabas dalam lubang kabel bawah tanah di Jalan AU3 Setiawangasa [VIDEO]

Enam wanita gedik berjoget tiba-tiba ditelan bumi [VIDEO]

Pelakon ditipu artis veteran tuntut RM8.58 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker