HISHAMMUDDIN

HISHAMMUDDIN TOLONG AMBIL TINDAKAN SEGERA!

SAYA amat kagum atas ‘keberanian dan kesungguhan’ Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk meneruskan hasratnya menyaman Anwar Ibrahim gara-gara penasihat PKR itu menuduh beliau terbabit dalam penyiaran video seks yang kini menjadi satu fenomena baru dalam sarkas politik negara.

Tidak kira, samada Hisham saman atau tidak, Anwar tetap Anwar. Dia tidak pernah rasa terancam kerana di hadapannya sudah ada puluhan saman dan banyak lagi bakal menyusul.

Ringkasya, saman Hishammuddin itu tidak memberi kesan kudis terhadap ego Anwar.

Nasihat saya kepada anak bekas PM ketiga kita itu: Simpanlah keberanian anda itu. Saya percaya, anda dipihak benar tetapi kebenaran saja tidak cukup untuk memerangkap Anwar yang ada banyak muslihat untuk menepis segala tuduhan dan dakwaan terhadapnya.

Pada saya, Hishammuddin perlu tumpu kepada permasalahan yang dicetus beliau sendiri. Kita bimbang sikap lembap yang dipamer bekas Ketua Pemuda UMNO itu akan memberi kesan lebih buruk terhadap sokongan kepada BN dalam PRU ke-13 nanti.

Persepsi buruk rakyat terbanyak terhadap agensi kerajaan di bawah naungan KDN seperti Polis, Imigresen serta Kastam sudah sampai ke tahap kronik. Walaupun pelbagai aduan dibuat Hishammuddin sekadar memberi amaran jadi tidak hairan mengapa ‘pemuda lembut’ ini diangkat sebagai ‘Menteri Amaran’ pertama Malaysia.

Rakyat marhaen makin rimas dengan kebanjiran ‘awang Afrika’ yang banyak mencetus masalah di kebayakan tempat terutama di sekita rumah pangsa kos rendah. Pelbagai aduan dibuat tetapi pihak polis dilihat lebih mengambil sikap mudah. Kecuali jika ada operasi membabitkan TV3, maka ketika itulah ramai pegawai di bawah agensi KDN nak tunjuk taring.

Tidak salah jika rakyat marhaen punya persepsi, ada yang terbabit dengan rasuah. Jika tidak bagaimana awang Afrika ini begitu mudah terlepas masuk ke negara ini melalui pintu masuk lapangan terbang seluruh negara khususnya KLIA yang acap kali dilaporkan menjadi transit pengedar dadah.

Kita juga bimbang dengan kebanjiran ‘mamat Iran’ dan laporan terbaru menyatakan warga negara berkenaan terbabit dalam rompakan berlian bernilai hampir RM7 juta, amat merimaskan semua orang. Hishammuddin tidak pernah bersuara apa-apa.

Beliau perlu tangkas mengambil tindakan, mengerah pegawainya turun padang, bukan hanya memberi amaran setiap kali ada rungutan atau laporan.

Rakyat juga resah melihat warga Indon, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Thailand berkeliaran di bandar dan pekan kecil tanpa tujuan. Malah ramai di antara mereka terbabit dalam perniagaan selain mengedar dadah, rompak, rogol dan bunuh.

Sekali lagi saya merayu kepada Menteri Amaran lupakan saja Anwar, anda ada banyak kerja lain yang lebih mendesak. Walaupun anda sepupu kepada PM kita tetapi janganlah meletakkan beliau dalam keadaan serba salah.

Hubungan darah ini pasti menyukar buat beliau untuk ‘memberi amaran’ kepada anda apa lagi untuk menggugurkan anda dari Kabinet.

Jadi, tolonglah Hisham! Bangkit dan bertindaklah. Rakyat sedang meneropong gelagat anda yang suka ‘main selamat’. Kami benci melihat ‘senyuman’ anda setiap kali berdepan isu yang serius!

Read more