Kisah Ustaz Kazim kena sihir dipapar 80 peratus sahaja – Mawi

Kisah Ustaz Kazim kena sihir dipapar 80 peratus sahaja – Mawi

Hanya 80 peratus kisah pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang didakwa berdepan gangguan sihir dan mistik dimuatkan dalam filem Zim Zim Ala Kazim yang mula menjengah pawagam di seluruh negara, hari ini.

Penerbit dan pengarah, Mawi berkata, beberapa karakter dan jalan cerita fiksyen direka untuk menambah ‘rasa’ dalam naskhah berkenaan supaya lebih menarik dan mampu memberi kepuasan kepada penonton.



Mawi yang turut membintangi filem Zim Zim Ala Kazim menyuntik beberapa elemen komedi agar naskhah itu lebih ringan. Namun, pengajaran yang mahu disampaikan mengenai perbuatan syirik dan amalan sihir, boleh diambil.

“Kira-kira 70 peratus hingga 80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan dalam filem ini. Selebihnya saya tambah untuk pastikan jalan cerita lebih menarik.

“Mungkin ada yang suka atau sebaliknya.Tetapi sebagai pembikin filem, saya sedia terima kritikan dan sudah biasa melaluinya.

“Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah. Apatah lagi, saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah,” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem Zim Zim Ala Kazim di GSC The Starling di sini, baru-baru ini.



Antara kejadian sebenar pernah dialami Ustaz Kazim adalah perbuatan khianat individu yang didakwa menanam bangkai monyet di hadapan rumahnya sehingga dia dan ahli keluarga diganggu oleh makhluk halus, dipaparkan dalam filem itu.

Mawi berkata, persamaan kisah dirinya dan Ustaz Kazim mendorong kepada penerbitan naskhah yang menggabungkan genre seram dan komedi itu.

“Saya selalu dengar ceramah Ustaz Kazim. Salah satu perkara yang beliau lalui adalah muntah darah.

“Saya pernah berhadapan dengan muntah darah. Jadi, ada persamaan yang membuatkan saya mahu jumpa beliau untuk bercerita mengenai perkara itu.



“Idea untuk filem ini datang daripada pengalaman sendiri dan ditambah dengan kisah sihir yang Ustaz Kazim alami.

“Sebab itu macam ustaz cakap, kalau kita tidak lalui perkara itu, kita tidak faham. Jadi, apabila sudah lalui, hikmahnya kami dapat bekerjasama.

“Mungkin kisah kami ini untuk berkongsi kepada orang ramai. Saya jadikan cerita ini dalam bentuk filem supaya dapat beri pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Mawi lega apabila Ustaz Kazim tidak berfikir panjang dan terus memberikan persetujuan untuk terbabit dalam pembikinan naskhah berkenaan.



“Mula-mula, saya berjumpa ustaz untuk bercerita mengenai hasrat mengangkat kisahnya dalam dalam bentuk filem. Beliau tidak berfikir panjang dan terus mengalu-alukannya.

“Niat ada untuk buat cerita ini dan Ustaz Kazim sudah merancang untuk berkongsi mengenai kisahnya. Jadi, itu yang membuatkan jalan ke arah itu sangat mudah.

“Kalau diikutkan tidak sukar untuk saya meyakinkan Ustaz Kazim. Dalam perjumpaan kali kedua, beliau ceritakan lebih mendalam. Pada perjumpaan kali ketiga, saya turut membawa penulis skrip.

“Saya juga kagum dengan keberanian Ustaz Kazim untuk berlakon. Bukan hanya berlakon, malah beliau juga menyumbang suara untuk runut bunyi rasmi (OST) bagi filem ini,” katanya.



Mawi bersyukur naskhah yang menjalani penggambaran di kediaman Ustaz Kazim iaitu di Manjoi, Ipoh, Perak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan babak.

Sebelum ini, filem Zim Zim Ala Kazim dirancang disiarkan di saluran Astro First pada Oktober 2022 sempena sambutan Maulidur Rasul. Namun, selepas berbincang dengan produksi, mereka bersetuju membawa naskhah itu ke layar perak.

Selain Ustaz Kazim dan Mawi, filem terbitan Mawi World Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Maimunah Ahmad dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim mengisahkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal. Mereka kemudian menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya, lantas mengambil keputusan menyelamatkan nyawa. BH



Kisah Ustaz Kazim kena sihir dipapar 80 peratus sahaja – Mawi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sambut ‘Birthday’ Zayn Rayyan di kubur, netizen rasa makin pelik (Video)

1 by 1: “Kalau tak mabuk itu orang mesti kena” – Anne singlet putih

Punca Hajar Aswad dicuri dan 30 ribu jemaah haji dibunuh

Kalau tak boleh gurau, duduk surau

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker