Gosip liar, lantaklah – Anna

Gosip liar, lantaklah – Anna

Trofi Pelakon Wanita Popular, dalam Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang kini dalam genggaman bintang semakin menyinar, Anna Jobling, 23, hadir bersama ujian datang silih berganti.

Dalam keseronokan namanya semakin dikenali, namun gadis kacukan Melayu, Inggeris dan Portugis itu tidak dapat mengelak daripada diheret gosip termasuk fitnah yang dianggap cubaan mencalarkan reputasinya.

Anna berkata, setiap apa sahaja yang dilakukan, termasuk kejayaan diraih pasti ada pihak tidak senang hati hingga sanggup menabur fitnah.

“Tak dinafikan, memang ada golongan ‘pembenci’ yang tidak menyenangi saya. Apa sahaja dilakukan tetap salah di mata mereka.

“Terbaharu, ada yang menganggap saya tak layak menang trofi Pelakon Wanita Popular TADS 2023, minggu lalu serta mempersoalkan bagaimana saya boleh menang?

“Jujurnya, saya agak terkilan apabila kemenangan dipersoalkan. Takkanlah saya nak pulangkan trofi semata-mata mahu memuaskan hati golongan pembenci. Tak bolehkah gembira dengan kejayaan orang lain?

“Bagi saya, rezeki tidak pernah salah alamat dan kemenangan juga kurniaan Allah. Jadi, tak perlulah nak mempertikaikannya,” katanya kepada BH Online.

Mengulas gosip merajuk dan lari dari rumah berikutan berselisih faham dengan ibunya, pemilik nama lengkap Anna Elissa Gustin Jobling Abdul Rahman menyifatkan, itu satu lagi fitnah rekaan yang mahu menjatuhkannya.

“Mana ada saya berselisih faham dengan ibu sampai lari dari rumah. Saya sibuk dengan penggambaran drama Melur Untuk Firdaus 2 sejak Januari. Saya ada membaca komen dalam Twitter, takkan saya mahu melakukan perkara seperti itu?

“Biasalah, orang bila tak puas hati banyak fitnah yang akan ditabur. Ini pun ada beberapa lagi fitnah yang timbul mendakwa saya melakukan sesuatu yang tidak saya lakukan,” ujarnya.

Meskipun fitnah dilemparkan mengguris perasaannya, namun pelakon yang pernah memenangi Miss Melaka 2018 dan Miss Tourism Pahang 2018 itu mengambil sikap tidak mengendahkannya.

“Saya sibuk dengan kerja dan bila perkara seperti ini timbul, saya mengambil langkah tidak melayannya. Lantaklah.

“Lagipun, perkara ini turut dilalui orang lain dan bukan pelakon sahaja. Kadang-kadang terfikir juga, kenapa orang yang tak kenal saya sanggup menabur fitnah.

“Tak dinafikan, rasa sedih juga, tetapi bila fikir balik, tak perlulah nak layan perkara seperti ini. Lagipun, saya tidak kenal pun individu yang mereka-reka cerita,” kata bintang pelakon yang dicungkil bakat menerusi program pencarian bakat, Dewi Remaja 2018/2019.

Satu perkara yang hingga kini masih menjadi tanda-tanya berkaitan Anna adalah hubungannya dengan pelakon Meerqeen yang juga gandingannya dalam drama rantaian popular, Melur Untuk Firdaus.

Tergelak besar pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Shah Alam 40000 ini apabila ditanya sejauh manakah kebenaran gosip sedang hangat bercinta dengan Meerqeen.

“Anda semua tak penat ke? (ketawa). Mungkin disebabkan keserasian yang sangat kuat bila bergandingan bersama menyebabkan ramai menyangka kami benar-benar bercinta.

“Tidak dinafikan, hubungan kami rapat, tetapi atas dasar profesional. Kalau di lokasi, kami lebih kepada bekerja,” ujarnya.

Pun begitu, tanpa berselindung, Anna mengakui, ada ketika mereka akan keluar bersama dan ia tidak membabitkan soal kerja.

“Sudah tentu kami pernah keluar bersama. Pergi jalan-jalan, makan dan menghadiri acara,” kata Anna.

Ditanya perasaannya apabila Meerqeen tidak memenangi trofi Pelakon Lelaki Popular pada TADS 2023, Anna berkata, dia sangat kecewa.

“Saya memang kecewa kerana kalau boleh saya mahu hero saya juga menang. Tetapi, rezeki berpihak pada Redza Rosli dan sememangnya layak.

“Walaupun kecewa, tetapi mungkin rezeki Meerqeen pada masa akan datang,” ungkapnya.

Sempena Aidilfitri, Anna melancarkan koleksi Baju Raya Kucing DD Cat membabitkan empat jenis fesyen iaitu Baju Melayu Simba, Kurta Muezza, Baju Kurung Bella dan Baju Kebaya Luna. BH

Gosip liar, lantaklah – Anna

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rintihan hati Ali Puteh

Diana peroleh hadanah interim dua anak

Ini kata mahkamah kepada Farid dan Diana

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker