Produksi Hollywood angkat kisah James Brooke dalam Rajah

Produksi Hollywood angkat kisah James Brooke dalam Rajah

Mulanya hanya menemui nota dalam novel, akhirnya menerbitkan keinginan produksi Hollywood, Margate House Films dan 852 Film mengkaji sejarah Raja Pertama Sarawak, Sir James Brooke sehingga tercetus idea mengangkat kisah perjuangannya ke layar perak.

Mengambil masa selama tiga tahun memikirkannya, sebelum skrip mula dihasilkan pada 2013.

Filem mengangkat kisah pengembaraan Brooke ke Borneo yang ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei pada 1839, filem Rajah dibawakan khas oleh syarikat produksi, Margate House Films dan 852 Film dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak.

Naskhah sentuhan pengarah dari Amerika Syarikat (AS), Michael Haussman itu dikuatkan dengan impak lakonan teraju utama, Jonathan Rhys Meyers yang pernah membintangi pelbagai naskhah ‘box office’ termasuk Mission: Impossible III.

Menyingkap kisah di sebalik tercetusnya idea pembikinan filem Rajah, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Margate House Films, Rob Allyn berkata, dia berminat mengangkat kisah penggambaran Brooke di bumi Sarawak selepas mengenali tokoh itu melalui nota dalam sebuah novel hasil penulisan George MacDonald Fraser pada 2009.

Katanya, dia terjumpa buku bertajuk Rajah Putih Sarawak yang menceritakan sejarah Brooke ketika bertandang ke sebuah kedai buku di Singapura, lantas menarik minatnya menterjemahkan dalam bentuk filem.

“Saya mengambil masa selama tiga tahun memikirkan untuk menghasilkan filem ini. Penulisan skrip filem bermula pada 2013, sejurus itu saya dan pasukan produksi bersetuju menjadikan penceritaan ini sebagai filem.

“Filem ini mendapat sambutan positif penonton ketika ditayangkan di AS pada 2021 menggunakan judul Edge Of The World,” katanya.

Selepas ditangguh tayangan akibat beberapa faktor, akhirnya filem Rajah mula menjengah pawagam seluruh Malaysia sejak Khamis lalu.

Allyn menjelaskan, dia mula mendapat idea dan membuat perangkaan kasar mengenai filem Rajah sejak 13 tahun lalu, sebelum meneruskan pelbagai kajian yang menjurus kepada sejarah Sarawak termasuk Brooke.

“Berkali-kali saya bersama pasukan produksi menulis jalan cerita sehingga akhirnya berjaya menemui apa sebenarnya yang dimahukan.

“Kami membuat sesi uji bakat untuk mencari pelakon, seterusnya melakukan kerja di sebalik tabir.

“Perjalanannya agak panjang, tetapi kami berpuas hati dengan hasilnya,” katanya ditemui pada malam gala filem Rajah di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Bagi menghasilkan filem berkait rapat dengan sejarah sesebuah negara, Allyn berkata, ia memerlukan proses kajian yang begitu panjang dan terperinci.

“Untuk filem Rajah, saya dan pasukan produksi membuat kajian terhadap sejarah asal Brooke ketika bertandang ke Sarawak. Kami meneliti pelbagai dokumen sejarah bagi memastikan fakta dikemukakan tepat.

“Kami mengambil kira pelbagai latar belakang Sarawak dalam lingkungan tahun1800 seperti kawasan, penduduk, budaya dan warisan Brooke.

Selain itu, saya mendapatkan khidmat nasihat pakar sejarah sepanjang proses pembikinan.

“Filem Rajah sangat istimewa kerana menggabungkan pelakon dari pelbagai negara. Selain itu, terdapat lima bahasa yang digunakan dalam filem iaitu Inggeris, Melayu, Dayak, Cina dan Arab,” katanya.

Filem Rajah menampilkan bintang hebat dari pelbagai negara seperti Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (Britain), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).

Selain itu, dua aktor handalan tanah air, Bront Palarae dan Shaheizy Sam turut diberi peluang menjayakan filem berkenaan.

Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut disalurkan kerana produksi memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran termasuk bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan.

Lokasi utama penggambaran secara keseluruhannya dijalankan di Sarawak antara 24 September hingga Oktober 2019. Penggambaran dijalankan di Siniawan yang berada dalam daerah Bau, Sarawak. BH

Produksi Hollywood angkat kisah James Brooke dalam Rajah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Encik Sajat dedahkan hampir dirogol di Australia

Mahathir dan Muhyiddin kembali bergabung?

Berat badan tinggal 48kg, Yasin derita tiriod

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker