Hawa bimbang terlebih gedik

Hawa bimbang terlebih gedik

LEBIH lima tahun menjadi pembaca berita dan mengacara program serius menjadi lembaran indah dalam kerjaya Hawa Rizwana.

Pengalaman itu cukup mendewasakannya untuk cuba perkara baharu.

Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27, akhirnya memutuskan untuk melebarkan sayap lebih tinggi.

Diumumkan hos tetap program sensasi MeleTOP baru-baru ini jadi pemula langkahnya.

Yang pasti, timbul perasaan bercampur baur walaupun dia sudah memegang tugas pengacara profesional.

Mana tidaknya, program hiburan adalah satu ‘dunia baharu’ yang asing baginya buat masa ini.

“Sangat-sangat berdebar sebab satu dunia baharu. Dulu mula kerja pada 2017, saya terus baca berita dan wartawan. Sangat serius, ‘straight forward’, belajar pun kewartawanan kan.

“Untuk cakap lebih tak boleh sangat, tapi benar-benar mengujakan. Ini sebab baru dapat nampak sisi seronok dalam dunia kewartawanan ini. Yang boleh jadi diri sendiri dan gembirakan orang.

“Saya buat ini kerana nak buat orang gembira. Bila tengok hiburan, nama pun menghibur, insya-Allah bila tengok saya dan Nabil yang kelakar itu, orang terhibur,” katanya.

Hawa menyifatkan keputusan menyertai bidang hiburan adalah langkah besar buatnya. Tidak menafikan menjadi wartawan sebati dengan dirinya, namun dia perlu ada fokus jelas.

Disebabkan itu, dia sangat bersyukur mendapat dorongan positif ramai untuknya menakluk dunia baharu ini. Walaupun masih kekok, dia perlu buktikan dia boleh dengan iringan kerja keras.

“Bidang sebelum ini, bidang yang saya sangat minat. Tapi, untuk buat kedua-duanya, serius dan hiburan agak bercanggah sebab dua genre berbeza. Bagi saya, kalau minat mana pun dan ingin jadi serba boleh, tapi kita kena ada fokus.

“Memang rasa kekok sebab saya buat berita sejak umur 22 tahun. Lima tahun buat perkara serius, tiba-tiba buat hiburan. Tapi, saya belajar banyak daripada orang lain dan kawan-kawan serta keluarga suruh ‘enjoy’ saja.

“Rakan hos lain pun suruh jadi sendiri saja sebab risau kalau terlebih ‘gedik’ atau kasar buat orang terasa. Saya pun baru sangat dan banyak lagi nak kena belajar,” katanya.

Doa dan restu ibu bapa

Anak kepada bekas pengacara TV dan pensyarah, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman itu paling terharu sokongan padu turut diberikan ibu bapanya. Doa dan restu mereka dia jadikan kekuatan.

“Ini satu perubahan kerjaya yang sangat drastik. Bila dapat restu ayah dengan apa yang pernah saya lalui, saya tak pernah kongsi sangat di media sosial, tahu bila saya sedih dan kecewa. Itu yang buat saya yakin akan ada perkara baik menyusul.

“Seperkara mengenai ibu bapa saya, mereka akan tengok (pengacaraan) dan bagi komen serta-merta kalau ada yang tak kena. Kadang-kadang ayah bagi doa dan kata supaya orang faham apa yang saya cakap.

“Ibu saya pun mulanya agak risau, maklumlah program hiburan. Tapi, dia suka tengok kerana ada segmen yang temu bual usahawan dan bukan 100 peratus gosip jatuhkan orang,” katanya.

Bukan baharu menjelma, sebaliknya Hawa akui sudah terima tawaran program hiburan sebelum ini. Cumanya dia belum ada kekuatan mengambil langkah drastik ketika itu.

Justeru, nekad ceburi bidang hiburan, dia berharap dapat terus meneroka sisi lain dirinya.

Baginya, setiap hari adalah pembelajaran baharu untuknya menjadi versi lebih baik.

“Sebenarnya banyak peluang yang sudah diberi. Tapi, dalam masa sama, tak tahu rasanya ramai orang senasib saya juga. Saya masih cari kekuatan diri, tak tahu apa sebenarnya kekuatan saya.

“Dengan melakukan program ini, harapnya suatu hari nanti saya akan jumpa kekuatan, kebolehan dan bakat saya. Jadi, kita tengok adakah hiburan yang sesuai dengan saya?” katanya.

Mencari keserasian

Tidak menafikan tekanan menggantikan Neelofa sebagai hos tetap agak terasa, Hawa bagaimanapun yakin dengan rezeki itu. Ia termasuk bahawa dia tidak patut lepaskan peluang besar berkenaan.

“Neelofa sudah buat MeleTOP lapan tahun dan saya pun sejak kecil dulu memang tengok. Dia sudah tetapkan penanda aras cukup tinggi. Dia bawa nama program itu jadi sangat besar.

“Walaupun tekanan itu cukup terasa, tapi peluang sudah diberi, rezeki Allah dah bagi, saya buat. Rasanya kalau tawaran ini dapat dekat siapa-siapa pun kan, orang ambil juga,” katanya.

Bergandingan dengan Nabil Ahmad juga sebenarnya memberi kelegaan buat Hawa. Walaupun memiliki jurang usia yang cukup besar, dia gembira apabila Nabil antara penyokong kuatnya.

“Dalam dia pun gila-gila, dia penyokong yang sangat kuat. Pertama kali saya jadi hos jemputan, dia sudah cakap suruh ambil saja (jadi hos) dan saya pun kata insya-Allah kalau dapat tawaran.

“Sejak 2018 sebenarnya saya dapat mesej jadi hos jemputan. Saya sangat bersyukur sebab penerbit pun beritahu Nabil memang nak saya dan gembira jika saya diambil.

“Keserasian itu masih tengah cari sebab beza umur pun lebih sedekad. Kemungkinan peranan kami nanti lebih kepada adik, abang,” katanya.

Ramai juga melihat ada kemiripan pada penampilan Hawa dan Neelofa. Namun, Hawa tidak ingin menjadikan hal itu kekangan untuknya bersinar tanpa dibayangi cakap-cakap yang menyamakan mereka.

“Apa-apa yang saya buat memang saya sentiasa jadi diri sendiri. Neelofa sendiri pun memang sangat cantik. Terserah, tapi siapa pun yang berada di tempat saya pasti tak ingin dikenali sebab disamakan dengan orang lain.

“Saya belajar dan kerja pun dalam bidang ini. Harapnya, suatu hari nanti orang pun dapat terima baik buruk saya,” katanya.

Belum berkesempatan berborak rapat dengan Neelofa, Hawa juga menyimpan impian dapat berbuat demikian suatu hari nanti. Bukan sekadar minta nasihat untuk mengendalikan MeleTOP, tapi untuk banyak lagi perkara.

“Seganlah. Saya berkawan dengan kakak dia, Bella. Dengan Neelofa kalau jumpa di acara, saya malu nak tegur dia. Kami pernah bersapa ringkas saja dalam program TV.

“Memang nak, sebab tahu banyak yang dia pernah lalui. Dia sangat berjaya dan saya rasa siapa pun yang nak belajar untuk berjaya, dia adalah orang tepat tempat belajar,” katanya. HM

Hawa bimbang terlebih gedik


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cara Hilangkan Dakwat Mengundi

Punca kekalahan Nurul Izzah

Langkah GRS seperti isytihar perang terhadap BN Sabah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker