PM UK jadi kebanggaan rakyat India, Pakistan

Rishi Sunak

SEBELUM hari Isnin lalu, tidak ada sesiapa pun menyangka bahawa United Kingdom (UK) akan mempunyai seorang Perdana Menteri muda berketurunan India yang mana negara itu pernah dijajahinya sehingga tahun 1947.

Bagaimanapun, selepas Pakistan wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berpisah dengan India, tempat lahir datuk dan neneknya itu tidak lagi berada di dalam negara tersebut tetapi kini terletak di dalam wilayah Pakistan.

Akhbar Hindustan Times menyiarkan artikel yang menyatakan penduduk India dan Pakistan berkongsi kebanggaan kerana Sunak menjadi Perdana Menteri UK.

Namun, pada Isnin lalu, Rishi Sunak dipilih menjadi Ketua Parti Konservatif sekali gus memegang jawatan Perdana Menteri UK setelah pencabarnya, Penny Mordaunt, 49, iaitu seorang wanita dan Ketua Dewan Rakyat menarik diri daripada bertanding bagi merebut jawatan sebagai ketua parti politik tersebut.

Pada Selasa lalu, Sunak dilantik oleh Raja England, Raja Charles III untuk membentuk kabinet selepas beliau memenangi jawatan Ketua Parti Konservatif yang memenangi pilihan raya umum pada tahun 2019.

Sunak menjadi Perdana Menteri UK selepas beliau memenangi jawatan Ketua Parti Konservatif tanpa bertanding bagi menggantikan Liz Truss yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis lalu selepas hanya 44 hari memegang jawatan tersebut.

Truss yang merupakan seorang wanita dan bekas Setiausaha Luar UK telah menewaskan Sunak pada pemilihan jawatan Ketua Parti Konservatif dengan mendapat undi sebanyak 81,326 manakala pesaingnya ketika itu memperoleh 60,399 undi bagi menggantikan Boris Johnson, 58, yang mana pentadbirannya dicemari pelbagi skandal memalukan Parti Konservatif.

Namun, Truss yang pernah mengisytiharkan beliau sebagai penyokong kuat rejim Zionis bertindak meletakkan jawatan selepas bajet mini yang dibentangkan oleh Setiausaha Perbendaharaan ketika pentadbirannya, Kwasi Kwarteng, 47, dikritik hebat sehingga menyebabkan mata wang pound UK jatuh dan hampir menyamai dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada kebiasaanya, pemegang jawatan Ketua Parti Konservatif ketika parti politik tersebut telah memenangi pilihan raya umum akan turut menjadi Perdana Menteri UK.

Sir Graham Brady yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Konservatif 1922 dan menyelia pemilihan jawatan Ketua Parti Konservatif menyatakan beliau hanya menerima satu borang pencalonan yang sah iaitu dari Sunak menyebabkan beliau dipilih sebagai pemimpin parti politik tersebut.

Menurut Ataul Fatir Tahir iaitu seorang imam komuniti Muslim Ahmadiyya di London menyatakan menerusi akhbar Al Hakam baru-baru ini bahawa siapakah boleh bayangkan pada awal abad ke-20 ketika Britain memerintah India, akan terdapat seorang lelaki berketurunan India menjadi Perdana Menteri UK, suatu hari nanti.

Sunak adalah seorang penganut Hindu dan dilahirkan pada tahun 1980 di Southampton manakala ibu bapanya keturunan Punjab tetapi datuk dan neneknya dilahirkan di India namun berhijrah ke UK dari Afrika Timur pada tahun 1960-an.

Beliau merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik manakala bapanya, Yashvir Sunak ialah seorang doktor yang pernah belajar dalam bidang perubatan di Universiti Liverpool.

Bagaimanapun, bapa Yashvir, Ramdas Sunak dan isterinya telah berhijrah ke Afrika dari Gujranwala yang merupakan tempat kelahiran mereka dan kini terletak di Pakistan dengan datuknya itu bekerja sebagai kerani di Nairobi, Kenya.

Bapa Sunak kemudian dilahirkan di Nairobi manakala ibu bakal Perdana Menteri itu, Usha dilahirkan di Tanzania dan beliau mempunyai sebuah kedai farmasi di Britain.

KETUA PELAJAR

Sunak belajar di sekolah berasrama penuh yang dihormati iaitu Kolej Winchester, UK yang mana beliau menjadi pernah menjadi ketua pelajar sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, Britain dan Universiti Stanford di Amerika Syarikat (AS).

“Ibu bapa saya banyak berkorban supaya saya dapat menghadiri sekolah yang baik. Saya bertuah kerana belajar di Kolej Winchester, Universiti Oxford dan Universiti Stanford. Pengalaman itu mengubah hidup saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai menjual kari di Southampton semasa cuti musim panas.

Malah di Universiti Oxford, Sunak menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi sebelum melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Stanford, AS.

Semasa di Universiti Stanford, beliau berkenalan dengan isterinya, Akshata Murthy yang mana bapanya, Narayana Murthy adalah antara orang terkaya di India dan merupakan pengasas syarikat teknologi maklumat iaitu Infosys dengan nilai kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$4.5 bilion (RM21.31 bilion).

Berbekalkan ijazah sarjana MBA pada tahun 2006, Sunak menyertai salah satu dana lindung nilai berprestasi terbaik UK, The Children’s Investment Fund dan beliau dan Akshata kemudian mendirikan rumah tangga pada tahun 2009.

Isterinya itu dilaporkan kini mempunyai 0.91 peratus saham dalam syarikat bapanya sekali gus nilainya dianggarkan sebanyak £700 juta (RM3.7 bilion).

Pada tahun 2010, Sunak menubuhkan syarikat perkongsian pelaburan swasta, Theleme Partners dengan dana permulaan sebanyak £536 juta (RM2.8 bilion) dan pada masa inilah bakal Perdana Menteri UK itu mula menjadi sukarelawan untuk Parti Konservatif manakala akhbar The Times pernah menyatakan bahawa beliau menjadi jutawan besar ketika berumur dalam lingkungan umur 20-an.

Sunak telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Richmond di Yorkshire pada Mei 2015 dan dipilih semula pada tahun 2019 dan antara tahun 2018 dan 2019 beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Rendah Parlimen bagi Kerajaan Tempatan sebelum memasuki Kabinet pada tahun 2019 sebagai Ketua Setiausaha Negara Perbendaharaan.

Pada Februari 2020, beliau menjadi salah seorang Canselor Perbendaharaan termuda dalam sejarah sebelum meletakkan jawatan pada Julai lalu ketika UK ditadbir oleh Boris Johnson sebagai Perdana Menteri yang berdepan dengan krisis pentadbiran.

Buat masa ini, Sunak merupakan Perdana Menteri termuda dalam tempoh lebih 200 tahun, lelaki berkulit gelap pertama dan berketurunan India serta Asia yang pertama memegang jawatan itu di UK. – Agensi

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Bihun Goreng Kampung, Sedap Macam Mak Buat

Kisah Sejarah Kicap Cap Kipas Udang, Ramai Orang Tak Tahu

PAS persenda tawaran jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker