Niat murni Noraniza Idris jadi mimpi ngeri

Niat murni Noraniza Idris jadi mimpi ngeri

Sangka Noraniza Idris, 54, pemilihannya sebagai penyelaras projek Skim Rumahku Syurgaku (RKSK) kendalian sebuah syarikat hartanah boleh membantu artis kurang berkemampuan mendapatkan kediaman sendiri.

Namun, dakwa Ratu Irama Malaysia ini, niat murni itu bertukar mimpi ngeri apabila secara tiba-tiba, namanya terpalit dengan kontroversi.

Sekelip mata tular dalam media sosial, netizen membangkitkan isu RKSK ditawarkan syarikat terbabit yang didakwa tidak masuk akal.

Tampil menjelaskan kekecohan itu, Noraniza mendakwa berdepan tekanan emosi akibat dikecam hingga terpaksa menangguhkan Konsert Malai Solo di Istana Budaya (IB) bulan depan, yang dirancang sekian lama.

“Apabila isu ini tular dan gambar saya dan beberapa artis lain disebarkan dengan mendakwa kami artis bodoh, membuatkan emosi saya terganggu hingga kesihatan terjejas.

“Semua gerak kerja yang sudah diusahakan senyap-senyap sebelum ini terganggu.

“Jualan tiket konsert juga terjejas. Malah, imej dan reputasi saya tercalar disebabkan isu yang tular itu.

“Ini menyebabkan saya terpaksa menghentikan segala bentuk promosi Konsert Malai Solo serta-merta,” dakwanya pada sidang media di ibu negara, malam kelmarin.

Yang turut hadir, wakil syarikat pengurusan Noraniza, Mind Order Sdn Bhd.

Jun lalu, sebuah pemaju hartanah dilapor memperkenalkan Skim RKSK yang menawarkan rumah berharga RM500,000 kepada penggiat seni atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dakwa syarikat terbabit, Noraniza dilantik sebagai Duta Pelancongan Seni dan Budaya serta pemegang amanah Skim RKSK yang digerakkan atas inisiatif khidmat sosial dan amal jariah membantu ummah.

Mengikut perjanjian, penggiat seni dilaporkan hanya perlu membayar RM10 untuk urusan mendapatkan kediaman.

Namun, kontroversi tercetus apabila aktivis wanita, Mona Din dilaporkan menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan syarikat terbabit yang menawarkan kediaman bernilai sehingga RM500,000 secara percuma kepada penggiat seni, sama ada ia benar-benar tawaran tulen atau ada unsur penipuan.

Mona dilaporkan berkata, syarikat berkenaan turut melantik dua artis wanita veteran, masing-masing penyanyi dan pelakon bagi menyelaras tawaran 1,000 unit kediaman kepada artis veteran dan kru belakang tabir terpilih.

Noraniza faham niat melindungi kebajikan penggiat seni apabila isu membabitkan tawaran kediaman itu dibangkitkan.

“Biarpun niat mereka adalah melindungi artis daripada menjadi mangsa, tetapi kenapa gambar saya yang ditularkan?

“Kenapa pihak terbabit tidak berhubung terus dengan syarikat hartanah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan sebenar atas dakwaan ditimbulkan itu,” katanya.

Enggan namanya terus dikaitkan dengan Skim RKSK, anak jati Kluang, Johor ini menjelaskan dirinya bukanlah duta kepada projek terbabit seperti yang digembar-gemburkan.

Ini berikutan, dakwa Noraniza, tiada perlantikan rasmi dibuat.

“Perkenalan kami diatur rakan kongsi NIPV Management Sdn Bhd yang menyatakan individu terbabit berminat mempelawa saya menjadi duta program kebajikan.

“Saya terbuka hati menerima pelawaan itu kerana sering terbabit dalam kerja kebajikan.

“Hasrat saya cuma hendak tolong rakan artis veteran yang susah, tiada kerja dan rumah,” katanya.

Noraniza mendakwa tiada sebarang perjanjian rasmi dibuat menyatakan dirinya dilantik sebagai duta syarikat hartanah itu.

“Segala tawaran adalah secara lisan sahaja.

“Selepas isu ini tular, saya berusaha mendapatkan penjelasan syarikat hartanah terbabit.

“Disebabkan marah, nama saya digugurkan (daripada menjadi duta) pada 27 Ogos lalu,” katanya yang lega semua beban dipikul berkaitan kontroversi itu, sudah berakhir.

Lebih dikesalkan, dakwa Noraniza, kontroversi itu menyebabkan semua usaha menjayakan Konsert Malai Solo yang sepatutnya dipentaskan di IB selama tiga hari mulai 21 Oktober, musnah sekelip mata.

“Saya bertungkus-lumus menjayakan konsert ini. Pergi mesyuarat sana-sini dengan pelbagai pihak. Boleh dikatakan sudah 70 peratus persiapan dibuat.

“Namun, segala penat lelah ini tiba-tiba diganggu dengan isu viral.

“Dengan kecaman, termasuk menyentuh soal keyakinan pelbagai pihak terhadap saya selepas isu timbul, bagaimana saya mahu teruskan konsert ini?” katanya.

Biarpun belum mendapat tarikh baharu konsert, Noraniza yang juga Pengurus Projek Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd berkata, Konsert Malai Solo mahu diteruskan, sebelum akhir tahun ini.

“Cuma, skala konsert akan jadi lebih kecil dan lokasi berubah. Disebabkan perubahan itu, harga tiket lebih rendah berbanding sebelum ini.

“Walaupun berskala kecil, namun, kualiti yang dijanjikan tetap sama. Saya mengekalkan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik,” katanya.

Sebelum ini, Noraniza dikecam netizen kerana tiket Konsert Malai Solo yang ditawarkan pada harga antara RM299 hingga RM1,599 sejak 19 Ogos lalu, didakwa ‘cekik darah’.

Mengikut perancangan, konsert anjuran NIPV Managament Sdn Bhd itu menyaksikan Noraniza menyanyikan 24 lagu berentak Irama Malaysia dan etnik kreatif, termasuk medley yang menjadi tanda dagang dirinya, selama tiga malam. BH

Niat murni Noraniza Idris jadi mimpi ngeri


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu dan anak terbabas dalam lubang kabel bawah tanah di Jalan AU3 Setiawangasa [VIDEO]

Enam wanita gedik berjoget tiba-tiba ditelan bumi [VIDEO]

Pelakon ditipu artis veteran tuntut RM8.58 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker