Pantang larang jadi filem Talbis Iblis

Pantang larang jadi filem Talbis Iblis

Mengikut resam, setiap kaum di Malaysia pasti ada kepercayaan atau pantang larang yang jika dilanggar, dikatakan boleh membawa musibah kepada si pelaku.

Tertarik dengan perbezaan yang ada dalam setiap pantang larang, filem genre seram, Talbis Iblis diterbitkan bagi mengangkat kisah misteri kepercayaan kaum di negara ini.

Merungkai kisah di sebalik istilah ‘talbis’ yang bermaksud tipu daya Iblis untuk menyesatkan manusia, lima entiti iaitu Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bekerjasama menerbitkan filem Talbis Iblis.

Penerbit Eksekutif filem itu, Gayatri Su-Lin Pillai, berkata selain unik untuk diterokai, tema pantang larang dipilih kerana isu itu cukup dekat dengan masyarakat tanpa mengira bangsa.

“Idea mengangkat tema pantang larang ini dicetuskan seorang kakitangan. Ketika itu, dia sudah menyiapkan skrip untuk filem berkenaan.

“Kami sedia maklum setiap kaum di Malaysia seperti orang Melayu dan saya berdarah campuran Cina-India, masing-masing percaya pada pantang larang.

“Walaupun ada perbezaan dalam pantang larang, ia tetap mempunyai sedikit persamaan.

“Yakin dengan kisah itu yang saya fikir cukup dekat dengan masyarakat hari ini, kita bersedia menerbitkan filem ini.

“Bagaimanapun, kita buat sedikit rombakan skrip untuk disesuaikan dengan penonton.

“Selepas itu baru kami cari tajuk sesuai dan penulis skrip memberi cadangan filem ini diberi judul Talbis Iblis.

“Tajuk itu sangat relevan bukan sahaja pada kita semua, malah kepada manusia di seluruh dunia,” katanya pada sidang media pelancaran filem Talbis Iblis di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Tablis Iblis mengisahkan seorang gadis dikenali sebagai Hajar yang dihantar ke sebuah tempat jauh dari kota untuk melahirkan bayi secara rahsia.

Seorang bidan, Mak Ju menjaga Hajar, namun dia mempunyai perancangan lain terhadap gadis itu.

Mengambil masa dua tahun untuk ditayangkan, Gayatri berkata, kelewatan itu disebabkan COVID-19 selain proses pasca produksi yang cukup teliti dilakukan pengarahnya, Kabir Bhatia.

“Filem ini siap menjalani penggambaran pada Januari 2020. Apa yang membuatkan ia lewat ditayangkan kerana proses suntingan dan penggunaan kesan khas (VFX)

“Semua proses ini dilakukan dalam talian. Kalau dibuat secara berdepan, mungkin masa yang diambil tidaklah selewat ini.

“Kabir juga sangat teliti. Sepanjang tempoh dua tahun itu, dia terbabit proses suntingan hingga puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Ternyata di sebalik sikap cerewet pengarah filem Cinta itu, Gayatri sangat berpuas hati dengan naskhah dihasilkan.

“Antara sebab kami pilih Kabir sebagai pengarah kerana mahu memenuhi permintaannya.

“Sebelum ini, Kabir pernah mengadu dia digelar pengarah filem Hindustan kerana kerap tampilkan filem berunsur cinta.

“Menerusi Sangkar, kita berjaya pecah tembok itu apabila terbukti Kabir boleh mengarahkan filem aksi.

“Untuk filem Talbis Iblis, Kabir tidak mengecewakan kerana sentuhannya tetap berbisa walaupun menghasilkan filem seram.

“Kabir pernah mengarahkan filem seram Sembunyi: Amukan Azazil dan drama bersiri Kekasihku Seru.

“Namun, dalam naskhah ini, Kabir berjaya meletakkan penanda aras tinggi berbanding dua karya seramnya itu,” katanya.

Kabir menyifatkan Talbis Iblis mempunyai cabaran tersendiri terutama dalam memastikan filem itu dapat bersaing dalam pasaran filem tempatan yang semakin rancak.

“Semuanya banyak bergantung kepada masa. Penonton juga ada kehendak yang luar biasa, jadi, memang cabaran untuk kami pembikin filem.

“Cabarannya adalah menghasilkan sesuatu yang berbeza, tetapi masih mampu diterima.

“Filem ini juga sebuah trilogi, jadi sudah ada satu cabaran,” katanya yang merangkul trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31.

Mengulas harapannya terhadap buah tangan baharunya itu, tiada apa yang diinginkan selain filem itu menerima tempias filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan Abang Long Fadil 3.

“Saya harap filem ini akan buat duit,” katanya ringkas.

Bakal ditayangkan di pawagam mulai 20 Oktober depan, filem itu dibintangi Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Sherie Merlis, Jay Iswazir, Daniella Sya, Amir Nafis dan Izzy Reef.

Biarpun diklasifikasikan P13, filem ini bebas daripada suntingan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Selepas ditayangkan di Far East Film Festival di Itali dan Bucheon International Fantastic Film Festival di Korea Selatan, filem ini menarik minat penganjur di Switzerland dan Perancis untuk dibawa ke festival filem anjuran negara terbabit. BH

Pantang larang jadi filem Talbis Iblis


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dolla Dikritik Seksi, Penyanyi Korea Lebih Sopan Pakai Jaket Labuh (Video)

Pasangan disambar petir ketika beromen di dalam khemah

Menteri Bersatu sendiri tidak mahu bawa cadangan Muhyiddin dalam Kabinet

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker