Kejayaan manis Ernie, Syamel

Kejayaan manis Ernie, Syamel

Pasangan selebriti popular, Syamel dan Ernie Zakri menyifatkan kejayaan lagu duet, Goodbye Hello menerusi dua kategori di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) minggu lalu sebagai kenangan manis yang tidak boleh dilupakan.

Goodbye Hello menerima pengiktirafan tertinggi apabila diumumkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik yang menjadi rebutan ramai.



Kemenangan Lagu Terbaik turut disertakan dengan Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebanyak RM50,000.

Syamel berkata, dia tidak menyangka apabila lagu yang pada mulanya adalah lagu tema perkahwinan mereka, kini mencatat satu lagi kejayaan manis.

“Kejayaan lagu Goodbye Hello tidak disangka-sangka. Saya anggap ini adalah hadiah dan rezeki buat kami berdua.

“Lagu ini dianggap seperti lagu tema perkahwinan, tetapi malam ini ia menambah lagi kenangan manis dalam karier nyanyian kami kerana menerima pengiktirafan di AIM,” katanya.



Menurut Syamel, dia ingin berterima kasih kepada Faizal Tahir dan Mike Chan kerana bekerjasama dalam projek itu.

“Semuanya bermula ketika menerima panggilan daripada Faizal yang memberikan demo lagu ini dan lebih terharu syarikat rakaman Faithful Music bekerjasama dalam penulisan lirik.

“Alhamdulillah kami berdua dapat lagu terbaik dan sangat gembira dengan anugerah yang diberikan,” katanya.

Bagi Syamel, AIM adalah majlis penganugerahan yang memberi nilai sentimental buat dirinya apabila pernah memegang trofi kategori Artis Baru Terbaik pada 2016.



“AIM adalah satu pengiktirafan buat penyanyi dan pengkarya seperti saya. Kami bekerja keras untuk memastikan karya kami diangkat kerana dinilai juri profesional.

“Walaupun saya tewas dalam kategori vokal terbaik dalam AIM23, manakala Ernie memenanginya bagi kategori wanita, tapi saya okey dan berbangga kerana Ernie membuktikan kerja kerasnya dibayar dengan pengiktirafan ini.

“Sebagai suami dan rakan duet, saya tumpang gembira melihat kejayaan berganda yang diraih Ernie. Tapi, tipu kalau saya tidak berharap untuk memenangi kategori vokal terbaik, namun mujur saya tidak meletakkan harapan tinggi,” katanya.

Hormat komen netizen



Beralih mengenai persediaan menghadapi kecaman atau pertikaian orang ramai terhadap kemenangan yang diraih, Ernie menghormati setiap komen yang bakal diberikan netizen.

“Sebelum ini saya sering membaca luahan peminat di media sosial. Saya perlu hormati selera mereka yang berbeza. Pada saya muzik itu sangat luas dan saya tidak mahu terlalu tertekan dengan pertikaian itu sekiranya ada.

“Bagi saya, apa yang saya raih ini adalah satu tanggungjawab untuk menjadi lebih baik. Ia juga adalah cabaran untuk saya kerana akan jadi pengukur kepada setiap apa yang bakal saya lakukan selepas ini,”katanya.

Konsert sulung Oktober depan



Beralih mengenai persediaan untuk konsert Aku Cinta bersama Syamel yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Oktober depan, Ernie atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia dan Syamel gementar memandangkan itu adalah konsert pertama mereka.

“Dalam pada gementar, tapi kami sudah membuat persediaan yang rapi. Kami akan lakukan sehabis baik, namun untuk menjanjikan sesuatu amat sukar, tapi kami akan berusaha sebaik mungkin bagi menghiburkan penonton.

“Senarai lagu sudah ada dan segalanya sudah hampir sempurna. Setakat ini segala persiapan sudah hampir 90 peratus siap. Cuma kami perlu pastikan yang badan kami ‘fit’ untuk memberikan persembahan terbaik pada malam itu,” katanya. HM

Kejayaan manis Ernie, Syamel




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupanya Dah Kahwin Ibu Anak Tujuh

Mazhab Amerika Ke Yuna?

Yazmin Aziz dan kekasih, cuti sama-sama, bilik asing-asing ke?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker