Magis Pandora Avatar: The Way of Water dalam 3D

Avatar 2

Magis Pandora Avatar: The Way of Water dalam 3D

Dibikin lebih sedekad dengan teknologi 3D menjelmakan kehidupan dalam air di Pandora yang tampak realistik dan menakjubkan, pengarah, James Cameron menghadiahkan sekuel kedua filem sains fiksyen (sci-fi), Avatar: The Way of Water yang bakal menemui penonton di pawagam, Disember ini.

BH mendapat jemputan eksklusif menghadiri slot panel Marvel, Lucasfilm dan 20th Century Studios sempena ekspo terbesar anjuran The Walt Disney Company, D23 Expo: The Ultimate Fan Event di Pusat Konvensyen Anaheim, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), melihat sendiri sentuhan Cameron dalam sekuel kedua filem mega itu.

Cameron yang membuat perkongsian secara virtual dari New Zealand pada panel itu, teruja dapat menamatkan penantian peminat yang tidak sabar menonton sekuel terbaru filem Avatar.

Sepanjang proses penerbitan Avatar: The Way of Water sejak 2009, Cameron tidak menghasilkan naskhah lain bagi memberi tumpuan kepada projek francais filem Avatar itu.

“Semuanya dilakukan dengan baik dan hasilnya dilihat sangat menakjubkan.

“Saya sangat teruja, akhirnya, filem kedua ini berjaya disiapkan.

“Saya tahu semua orang sudah menunggu lama dan berharap anda boleh putuskan sama ada apa yang kami kongsi hari ini berbaloi,” katanya.

Dibekalkan cermin mata 3D, wakil media dan peminat dapat menonton enam babak sedutan daripada filem Avatar: The Way of Water secara eksklusif.

Dibintangi Zoe Saldana, Sam Worthington, Sigourney Weaver dan Stephen Lang, filem ini membuatkan penonton kagum dengan keindahan kehidupan dalam air di Pandora.

Namun, media dan peminat tidak dibenarkan merakamkan sedutan ditayangkan pada sesi itu.

Dilaporkan, sekuel kedua ini berkisar cabaran dilalui keluarga Sully untuk terus hidup selepas melalui detik mencabar yang dipaparkan dalam versi pertama filem francais ini.

Avatar: The Way of Water membawa penonton melihat bagaimana keluarga Sully berdepan tragedi, kepayahan dan kesanggupan mereka melakukan apa sahaja untuk terus bernyawa.

Pada sesi itu, Worthington dan Saldana yang membawa watak utama, iaitu pasangan ibu bapa dalam filem berkenaan, berkongsi pengalaman menghasilkan naskhah epik itu.

Worthington berkata, filem Avatar: Way of Water mengetengahkan tema kasih sayang antara keluarga.

“Seluruh filem ini berkisar usaha untuk melindungi ahli keluarga.

“Kita semua melalui penularan pandemik COVID-19. Kita sedar kasih sayang dan keluarga adalah segala-galanya serta menjadi sesuatu yang berhak diperjuangkan.

“Kami letakkan nilai itu dalam filem ini,” katanya.

Dalam filem berkenaan, Worthington menghidupkan watak Jake Sully, manakala Saldana melakonkan karakter Neytiri.

Mengulas mengenai hubungan Neytiri dan Sully dalam siri kedua ini, Saldana berkata, mereka tidak hanya berdua, sebaliknya berkembang menjadi sebuah keluarga.

“Kami akhiri filem pertama dengan memilih untuk bersama. Jadi, sambungan kepada kisah itu, kami berkembang sebagai sebuah keluarga yang lebih besar,” katanya.

Ketika ditayangkan pada 2009, Avatar mencetuskan fenomena di seluruh dunia dan mencetuskan minat dalam teknologi pembikinan filem 3D.

Avatar dilaporkan menjadi filem terlaris dihasilkan selepas Avengers: Endgame.

Cameron menghabiskan lebih sedekad menyiapkan Avatar: The Way of Water.

Dalam tempoh itu, empat sekuel bakal dipertontonkan dengan sekuel kedua dijangka memasuki pawagam di seluruh dunia pada 16 Disember ini, disusuli tayangan pada 2024, 2026 dan 2028.

Dilaporkan filem epik, Avatar mengutip RM4.5 bilion pada hari ke-19 tayangan di seluruh dunia pada 2009. Projek membangunkan filem francais Avatar dimulakan sejak 1994 oleh Cameron. BH

Magis Pandora Avatar: The Way of Water dalam 3D


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tengku Hassanal tolong angkat skrol jatuh ketika istiadat (Video)

Masjid Noori Berusia 120 Tahun Muncul Semula Selepas Tiga Dekad Tenggelam [VIDEO]

Ustazah Asma Tak Tahan Dikecam Berterusan Tanpa Sebab (Video)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker