Agenda penyatuan ummah, strategi PAS wujudkan sentimen Umno tamak kuasa

Agenda penyatuan ummah, strategi PAS wujudkan sentimen Umno tamak kuasa

Penganalisis politik berpandangan PAS sengaja mahu menjuarai penyatuan ummah sebagai strategi untuk melemahkan Umno, walaupun sedar kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar itu tidak akan berjaya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS tahu kerjasama dengan Umno tidak akan berjaya selagi parti itu bernaung di bawah Perikatan Nasional bersama Bersatu, parti serpihan Umno.

“PAS mahu gambarkan Umno tidak pentingkan kesatuan ummah sebab itu sehingga hari ini PAS masih mengatakan bahawa PAS mahu bekerjasama dengan Umno tapi PAS memang dah tahu mereka tak boleh kerjasama dengan Umno apabila PAS berada dalam PN bersama Bersatu.

“Ini strategi PAS secara halus untuk menjatuh dan memperlekehkan Umno,” katanya.

Pada 11 Sept, PAS menamakan Umno sebagai “rakan ta’awun” (kerjasama) selepas parti itu memaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bahawa rundingan kedua-dua parti berkenaan tidak menunjukkan kemajuan. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata Umno sebagai rakan ta’awun masih dianggap bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah terutama membina negara baik dan diredai Tuhan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata adalah mustahil untuk Umno menyambut tangan kerjasama PAS, apabila parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu dari awal sudah menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga menjangkakan polemik kesatuan ummah antara tiga parti itu -PAS, Umno, Bersatu – akan dijadikan bahan kempen oleh PN yang cuba memainkan sentimen Umno hanya tamakkan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

“PAS mahu gambarkan Umno tidak pentingkan perpaduan ummah, Umno hanya pentingkan diri sendiri dan saya pasti isu ini akan digunakan dalam kempen PRU15 oleh PAS dan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan polemik yang cuba dicetuskan oleh pimpinan PAS itu akan memakan diri kerana akan dijadikan senjata oleh Umno untuk memberi gambaran bahawa PAS suka berselindung di sebalik tabir, walhal tujuan asal – untuk menjatuhkan Umno – bukan lagi rahsia.

“Pemimpin PAS perlu berhati-hati dalam menyatakan mereka mahu bekerjasama dengan Umno dan dalam masa sama bekerjasama dengan Bersatu.

“Lambat-laun tembelang PAS akan pecah juga dan boleh digunakan sebagai senjata oleh Umno untuk memberi gambaran tidak baik kepada PAS yang suka berdolak-dalih dan suka berselindung di sebalik tabir sedangkan tujuan asal semua orang tahu,” katanya.

Selasa lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith berkata PAS tidak berani bekerjasama dengan Umno pada PRU15 kerana tidak pernah memaklumkan mahu bekerjasama dengan Umno sepanjang berada dalam PN.

Beliau berkata, berdasarkan tafsirannya, dakwaan kerjasama PAS-Umno setakat hubungan serta persefahaman sesama parti politik. FMT

Agenda penyatuan ummah, strategi PAS wujudkan sentimen Umno tamak kuasa


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi Perkenalkan Robot Yang Mampu Sampaikan Khutbah Daripada Imam Dan Muazin

Majlis Peguam ‘kurang ajar’ – Zaid

Melur Untuk Firdaus kembali untuk musim ke-2, netizen tak setuju

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker