Isaac Voo ‘bom jangka’ cinta

Isaac Voo ‘bom jangka’ cinta

NAMA penyanyi, Isaac Voo mungkin tidak asing lagi buat peminat K-pop memandangkan jejaka kelahiran Negeri Di Bawah Bayu, Sabah ini adalah anggota kumpulan K-pop IN2IT.

Siapa sangka, anak tempatan juga mampu mencipta nama sehingga ke pentas K-pop dan pada masa sama, tidak pernah melupakan tanah air tercintanya walaupun sudah berhijrah ke luar negara.

Terbaharu, Isaac muncul dengan single solo berbahasa Melayu berjudul Time Bomb yang menjadi cabaran buat karier nyanyiannya.

“Lagu Time Bomb ini tercipta hasil kolaborasi komposer Gaston Pong dan Asyraf Nasir. Ia berkisar mengenai seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang wanita.

“Wanita ini perwatakannya sangat berbahaya. Tapi, lelaki ini masih meneruskan hubungan itu kerana rasa cinta yang kuat.

“Pada masa sama, ia juga umpama bom jangka atau ‘time bomb’ dalam hubungan percintaan itu,” katanya.

Menurutnya, Bahasa Melayu masih menjadi bahasa perantaranya, namun agak mencabar memandangkan dia menggunakan dialek Sabah.

“Saya memang gunakan Bahasa Melayu, cumanya ia dialek Sabah. Jadi, agak mencabar juga dari segi sebutan lirik memandangkan ia menggunakan Bahasa Melayu standard.

“Tapi, semuanya berjalan lancar dengan bantuan daripada pasukan saya termasuk Asyraf Nasir,” katanya.

Isaac memaklumkan bahawa karya ini umpama tanda penghargaan buat peminat di Malaysia.

“Ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih saya kepada peminat di Malaysia yang tak pernah berhenti menyokong kerjaya saya bersama IN2IT.

“Saya menetap di Korea kira-kira enam tahun. Tapi, di TikTok saya kerap juga membuat video ‘cover’ menyanyikan lagu Melayu.

“Jadi, rasanya ini masa yang sesuai untuk saya keluarkan lagu Bahasa Melayu,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran lain, Isaac bercerita mengenai proses latihan tarian yang perlu diselesaikan dengan cepat.

“Proses latihan koreografi untuk tarian tak sampai seminggu. Jadi, masa agak suntuk memandangkan saya juga sibuk dengan urusan di Korea Selatan bersama IN2IT.

“Ini pun saya baru sahaja pulang dari sana sebab saya perlu selesaikan beberapa perkara. Apa pun, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik video Time Bomb, penggambarannya dijalankan di Malaysia dan turut menyelitkan beberapa elemen serta identiti tempatan.

“Penggambarannya dijalankan di Ampang. Dalam muzik video ini saya turut menyelitkan beberapa elemen budaya Malaysia antaranya ada Jalur Gemilang serta wau.

“Bagi saya, menjadi tanggungjawab saya untuk membawa negara kita kepada orang luar dan beritahu mereka bahawa kita ada budaya yang tidak kurang hebat.

“Saya nak orang luar tahu bahawa Malaysia juga ‘daebak’ (hebat)!” katanya.

Berkongsi mengenai proses rakaman video muzik Time Bomb, Isaac mengakui ada banyak perbezaan dari segi cara kerja antara Malaysia dengan Korea.

“Di Korea, proses penggambaran muzik video memakan masa yang sangat lama memandangkan kami secara berkumpulan. Jadi, setiap seorang ada babak masing-masing dan yang lain perlu menunggu giliran.

“Untuk penggambaran muzik video Time Bomb, semuanya disiapkan dalam sehari. Ia lebih mudah kerana saya secara solo, tetapi yang mencabarnya adalah saya perlu terbabit dalam semua urusan.

“Satu lagi perbezaan yang saya nampak adalah, penggambaran muzik video di Korea kebanyakannya dilakukan dalam studio. Di Malaysia, kita jalankan di lokasi sedia wujud,” katanya.

Ditanya mengenai pendapat daripada rakan-rakan dari kumpulan IN2IT, Isaac menerima reaksi positif daripada mereka.

“Mereka memberikan kata-kata semangat kepada saya. Reaksi mereka sangat positif dan menurut mereka, karya ini sesuai dengan saya,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya sebagai idola di Korea Selatan, Isaac berkata, ia bukan semudah yang disangka.

“Pada awalnya, saya sangka ia bukan sesuatu yang sukar. Namun, bila saya sendiri menjalani kehidupan sebagai artis K-pop, ia tidak terlalu mudah.

“Antara yang paling saya rasakan adalah penat kerana tidak cukup tidur. Bila keluarkan karya baharu, kami akan tampil membuat persembahan hampir setiap hari, bertemu peminat dan ada rancangan lain.

“Jadi, dalam sebulan hanya beberapa jam kami dapat tidur. Sangat memenatkan, tetapi saya gembira,” katanya.

Selain kerjaya solo, Isaac masih juga tidak melupakan tanggungjawabnya bersama IN2IT.

“Kami akan ada projek baharu selepas ini. Jadi, itu sebabnya saya terpaksa berulang-alik dari Malaysia ke Korea Selatan. Tapi, tak jadi masalah sebab saya dapat uruskannya.

“Selain itu, saya juga ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan dan pengacaraan sekiranya ada peluang,” katanya.

Muzik video Time Bomb dilancarkan secara rasmi di saluran YouTubenya Jumaat lalu. HM

Isaac Voo ‘bom jangka’ cinta


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu LCS: Najib balun Raja Formula PKR dengan fakta padu

Raja Formula datang lagi, kini jadikan LCS kempen politik

Mahu elak hubungan seks, wanita ditahan buat laporan palsu dirogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker