Haziq hos baharu Melodi

Haziq hos baharu Melodi

Mulai hari semalam, program hiburan nombor satu, Melodi menggandingkan Ain Edruce dan Haziq Hussni sebagai hos baharu.

Berbesar hati memikul tanggungjawab, Haziq atau nama sebenarnya, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni berkata, dia berterima kasih kepada stesen TV3 yang memilihnya untuk mengendalikan program hiburan popular itu.

“Saya bersyukur menerima tawaran Melodi. Siapa tidak mahu mengacarakan program hiburan nombor satu di Malaysia. Berpasangan pula dengan Ain, jadi, saya tiada masalah.

“Saya dan Ain hampir digandingkan untuk beberapa program, tetapi tiada jodoh. Kini, akhirnya program Melodi menjadi program pertama menggandingkan kami.

“Hari ini kali pertama, tetapi saya dapat rasa keserasian. Ia datang dengan sendirinya.

“Kami sebaya dan harap gandingan tidak terhenti di sini, berpeluang lagi pada masa hadapan,” katanya kepada BH Online.

Haziq ditemui pada sidang media memperkenalkan hos baharu Melodi di Studio 3, Glenmarie, tengah hari ini.

Yang turut hadir, Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan dan penerbit, Michelle Wee.

Haziq dilamar sebagai hos Melodi musim baharu atas pembawaan yang dinamik, serba boleh dan mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Terdahulu, Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu mengumumkan meninggalkan stesen radio, Hot FM pada 10 Jun lalu selepas lapan tahun.

Bertanyakan tekanan dilalui untuk mengendalikan program hiburan popular, Haziq tidak menafikan.

Pun begitu, katanya, dia akan cuba memberikan terbaik selaras dengan usaha program Melodi untuk kekal relevan di kalangan penonton pelbagai peringkat umur.

“Apa sahaja program yang dikendalikan, pastinya ada tekaan. Malah, saya akan rasa gugup, tetapi perasaan inilah yang membantu memberikan semangat untuk melakukan yang terbaik.

“Melodi adalah program besar. Sebelum ini, hos terdahulu hebat-hebat, tetapi saya pula masih hos baharu.

“Jadi, saya berharap tidaklah mengendalikan satu musim sahaja,” katanya.

Tambah Haziq, dia akan sentiasa belajar memperbaiki diri dan membuktikan pada orang ramai mampu menggalas tanggungjawab sebagai hos Melodi yang baik.

“Walaupun saya sudah bergelar pengacara sejak 2014, tetapi saya masih belajar. Mengacarakan program Melodi tidak sama dengan program lain.

“Saya pernah sekali menjadi hos jemputan. Jadi, saya gunakan pengalaman ini untuk mencabar diri.

“Bagi saya, episod adalah uji bakat buat saya. Sebab saya bukan sahaja diadili stesen TV3, tetapi penonton.

“Inilah masanya buktikan pada penonton saya boleh melakukannya,” katanya.

Selepas 34 tahun bersiaran, program Melodi sudah menampilkan pengacara hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Awal Ashaari, Fara Fauzana, Wahid dan Nabila Huda.

Kini, giliran Ain dan Haziq meneruskan legasi sebagai hos Melodi.

Ain memulakan tugas pengacaraan pada 3 Julai lalu bersama hos jemputan seperti Sharnaaz Ahmad, Shalma Ainaa dan Izzue Islam sepanjang Julai.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan berkata, pengumuman hos baharu dibuat bagi menjadikan Melodi sebagai program hiburan kekal relevan dengan kehendak penonton hari ini.

“Kami membuat pembaharuan, sejak bulan ini. Jika melihat program Melodi dari dulu sampai sekarang, ‘DNA’ sama.

“Jadi, kami kekalkan DNA, tetapi tetap membuat pembaharuan dari segi ‘look and feel’ dan penyampaian bersesuaian dengan selera penonton yang lebih cenderung kepada media sosial.

“Melodi tidak mahu gerak dalam keadaan skeptikal dan kami sentiasa mengkaji kehendak penonton.

“Disebabkan itu, perubahan perlu sentiasa ada untuk menjadikan program Melodi kekal relevan.

“Itulah hasilnya Melodi bertahan sampai hari ini. Kami akan meraikan ulang tahun Melodi ke-35, tahun depan, jadi kami mahu program ini sentiasa relevan dengan semua peringkat umur,” katanya. BH

Haziq hos baharu Melodi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu LCS: Najib balun Raja Formula PKR dengan fakta padu

Raja Formula datang lagi, kini jadikan LCS kempen politik

Mahu elak hubungan seks, wanita ditahan buat laporan palsu dirogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker