Ahirine dapat restu keluarga

Ahirine dapat restu keluarga

PENDATANG baharu, Ahirine Ahirudin, 26, mengakui ahli keluarganya tidak pernah menghalang minatnya menjadi pelakon.

Ahirine yang juga anak kepada pengamal media berpengaruh, Datuk Ahirudin Attan atau Rocky Bru berkata, bapanya sentiasa menyokong apa saja minatnya sama ada dalam dunia seni, bidang penyiaran mahupun kewartawanan.



“Sebelum mengintai peluang dalam dunia lakonan saya pernah bertugas sebagai wartawan penyiaran dan pengacara program tv.

“Selepas menceburi bidang lakonan, saya masih menulis secara sambilan tetapi dalam portal automotif,” katanya.

Menurut Ahirine, ketika mendapat tawaran membintangi filem Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan itu, bapanya mencadangkannya tinggal di kampung selama sebulan bagi menguasai dialek Negeri Sembilan.

Dalam filem genre komedi romantik, pemegang Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.



“Saya boleh memahami dan bertutur sedikit dialek Negeri Sembilan kerana abah berasal dari Lubok Cina, Melaka. Sudah tentu ahli keluarga banyak bertutur dialek Negeri Sembilan.

“Kampung abah hanya bersebelahan Kampung Lonek, Negeri Sembilan yang menjadi lokasi penggambaran filem ini. Namun, saya tidak boleh tinggal lama di kampung kerana ada komitmen kerja lain,” katanya.

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studios Sdn Bhd itu turut menampilkan anak Adam E yang juga anak Hattan dan Nizam Laksamana.

Apa yang menarik, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.



Mengulas watak Jijah dalam filem itu, Ahirine berkata, ia mempunyai persamaan dengan dirinya yang menyukai aktiviti lasak dan sukan permotoran.

Katanya, Jijah gadis yang berasal dari kampung dan bersifat lemah lembut, tetapi meminati sukan lasak.

“Jijah adalah gadis yang bertugas sebagai pegawai tentera dan pulang ke kampung untuk menjaga neneknya. Saya tidak perlu bertutur dialek Negeri Sembilan pekat sangat kerana Jijah bekerja di bandar.

“Selain dibantu Hattan dan pelakon kelahiran Negeri Sembilan, ada guru lakonan memberi bimbingan dari segi dialek dan sebagainya,” katanya.



Ditanya babak mencabar, Ahirine berkata, dia mengalami sakit badan lebih seminggu ketika merealisasikan babak pertarungan dengan penjahat.

“Selain dibantu koreografer aksi, saya memang ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu Muay Thai dan Krav Maga.

“Masih banyak aspek lakonan yang perlu diperbaiki terutama ekspresi muka. Ini kerana sebelum ini saya banyak berada di belakang tabir untuk babak aksi dan lagak ngeri dalam filem,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Hattan, kata Ahirine, dia mudah mendapatkan keserasian penyanyi hebat itu.



“Pada mulanya, saya risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Hattan. Maklumlah, watak Jijah banyak dengan Atan (Hattan) termasuk babak romantik.

“Bagaimanapun, selepas saya bawa Hattan naik motosikal pusing bendang dan ronda keliling kampung, perasaan risau hilang, malah sering ketawa dengan telatah lucunya,” katanya.

Bukan saja Hattan, Ahirine juga tiada masalah bekerjasama dengan Khir dan Joey.

“Saya tidak kekok bergandingan dengan Khir dan Joey kerana pernah menemubual mereka ketika menjadi wartawan penyiaran.



“Mereka adalah pelakon profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di lokasi penggambaran. Begitu juga dengan pengarah, CL Hor,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama W.A.R.I.S, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di YouTube.

Filem ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 4 Ogos depan. Malah, turut ditayangkan di platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY yang akan diumumkan kemudian. HM

Ahirine dapat restu keluarga


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Hukum iringi jenazah dengan bacaan al-Fatihah

Ziana Zain tarik macam tu saja dekat kedai makan (Video)

ISA tak zalim, SOSMA zalim pulak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker