Vanidah Imran kini isteri pesilat negara

Vanidah Imran kini isteri pesilat negara

Sifat keibuan dan keupayaan hidup berdikari menambat hati pesilat negara, Arifabillah Idris menyunting pelakon, Vanidah Imran sebagai suri hidup hingga disatukan pada majlis pernikahan di sebuah premis acara di Titiwangsa di sini, pada jam 12.12 tengah hari tadi.

Dengan sekali lafaz, Vanidah atau mesra disapa Vee, 49, sah bergelar isteri kepada Arifabillah, 43, yang bertugas sebagai jurutera.

Menguasai ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi, Arifabillah pernah meraih pingat perak pada Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Cheongju, Korea Selatan pada 2016.

Majlis akad nikah dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah iaitu Johan.

Majlis pernikahan tertutup itu dihadiri kira-kira 50 tetamu merangkumi ahli keluarga dan teman rapat.

Pasangan mempelai bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga.

Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas rantai emas dan masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Pasangan sama padan sama cantik itu mengenakan rekaan Rizman Ruzaini dan ditata rias Syed Faizal berlatarkan dekorasi sentuhan Ezsconcept.

Dua tahun merahsiakan hubungan mereka, Vee yang sudah empat tahun bergelar ibu tunggal mengaku keputusan berkahwin kembali bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sejujurnya, mereka yang rapat sahaja tahu mengenai hubungan saya dan suami. Ini termasuklah keluarga dan dua anak, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

“Teman rapat pun hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada antara mereka terkejut dengan berita ini, namun, pada masa sama, gembira dengan keputusan dibuat.

“Bagi saya, sisi peribadi kali ini kenalah disimpan erat sampai betul-betul jadi. Nikah dan kahwin ini bukannya semudah menukar baju,” katanya yang meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu.

Vee yang sekarang menjadi pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, banyak faktor diambil kira sebelum memikirkan soal hati.

“Kami masing-masing pernah berkahwin. Kami pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Suami sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi, paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan.

“Selama mengenali hati budi masing-masing, saya lihat dia pandai mengambil hati anak. Penerimaan anak-anaknya terhadap saya juga positif,” kata graduan Sarjana Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya (UM) ini.

Mengimbas detik perkenalan, Vee berkata, mereka bermula sebagai kawan biasa.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu, kami sesekali berhubung melalui telefon atau aplikasi WhatsApp. Butir bicara dan perbualan kami lebih kepada soal kerja, kehidupan dan anak masing-masing.

“Bagaimanapun, keakraban berlaku tanpa disedari. Ia terjadi secara semula jadi. Ibarat, masing-masing tahu mula terbit rasa sayang.

“Rasa (cinta) itu dari Tuhan. Kesungguhan dan keikhlasan dia cuba mendekati dan memahami saya amat memikat hati.

“Biarpun berbeza usia enam tahun, itu bukan halangan besar kerana masing-masing ada tanggungjawab. Dia juga bukan jenis lelaki yang pandai ‘mengayat’ dan terlalu romantik.

“Tetapi dialah yang selalu berada di sisi saat saya tidak mampu menangani tanggungjawab dan bebanan menjelma,” katanya.

Vee ada sebab memilih pendekatan ‘low profile’ dan berahsia dalam soal hubungannya dengan Arifabillah.

“Ada ketika, timbul rasa tidak yakin dengan keputusan mahu membina hidup baharu. Keputusan berkahwin lagi ini sangat sukar. Malah, ketika menyuarakan hasrat ini kepada abah, dia agak keberatan.

“Namun, selepas diyakinkan ramai pihak termasuk dua anak, abah mula menurut. Pada akhirnya, abah percaya anaknya berhak menikmati kebahagiaan,” katanya.

Sementara itu, Arifabillah berkata, mereka mula berkawan pada 2016.

“Kami berkenalan di Istana Budaya ketika saya terbabit dalam koreografi silat untuk pelakon teater yang dibintangi Vee. Sejak itu, kami senang berkawan.

“Pada PKP Fasa Satu kami banyak berkongsi dan bersembang cerita sama. Malah, saya sama sertai kumpulan lariannya,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor dan membesar di sini.

Arifabillah berkata, dia melamar Vee, awal tahun ini.

“Lamaran itu tidaklah terlalu istimewa. Selama dua tahun mengenali hati budi, kami banyak berbincang hal yang dekat dengan diri termasuk soal tanggungjawab dan anak.

“Mengenalinya, saya boleh katakan dia wanita berdikari. Vee tebal dengan sikap keibuan. Saya kenal dia sebagai selebriti, sedangkan, saya orang biasa.

“Lama-lama kenal, dirinya sama seperti orang lain,” katanya.

Mengenai bulan madu, pasangan ini belum ada perancangan. Malah, Vee sibuk mempromosikan drama Kudeta dan filem Juang.

Malam ini, Vee dan Arifabillah bakal diraikan pada majlis resepsi di lokasi sama bertemakan rona putih.

Vee pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pemuzik, Rashidi Ishak pada Oktober 2000 serta dikurniakan dua cahaya mata. Bagaimanapun, mereka bercerai pada Ogos 2018. BH

Vanidah Imran kini isteri pesilat negara


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Amell Pukul Mak Wan sebab diludah, Didie Alias Dedah Hal Sebenar

Lelaki Melayu Pertama ‘Catwalk’ Di Paris Fashion Week

Nak poligami, cari keturunan baik-baik – Puteri Sarah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker